Pembelian NSL oleh YTL Cement tepat pada masanya di tengah ledakan pusat data - MIDF Research  | DagangNews Skip to main content

Pembelian NSL oleh YTL Cement tepat pada masanya di tengah ledakan pusat data - MIDF Research 

Kumpulan NSL menyediakan, antara lain penyelesaian sistem bangunan berindustri (IBS). -Gambar hiasan NSL
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pengambilalihan NSL Limited oleh YTL Cement, anak syarikat YTL Corp disifatkan berlaku pada masa yang sesuai berikutan ledakan pembinaan pusat data dan bangunan perindustrian di Malaysia, kata MIDF Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, sinergi YTL Cement dan NSL membuka peluang sinergi yang luas dalam perniagaan sistem bangunan industri (IBS) dengan komponen konkrit pratuang dijangka mempercepatkan proses pembinaan.

 

Katanya, jalinan usaha sama dua syarikat itu juga mampu membuka peluang perniagaan IBS bukan sahaja di Malaysia tetapi Singapura, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Finland.

 

Sehubungan itu, MIDF Research melihat cadangan pemerolehan NSL sebagai satu yang positif untuk YTL

 

"Selain merentasi sempadan negara, pemerolehan ini juga membuka pintu kepada YTL Cement untuk meluaskan perniagaan dalam bidang perkhidmatan alam sekitar," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: YTL Cement beli syarikat tersenarai di Bursa Singapura, NSL Limited berharga RM792 juta

 

Dalam pada itu, MIDF berkata, menurut sumber yang ditemui, anggaran pendapatan bagi YTL tetap tidak berubah buat masa ini.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan syor 'Beli' pada YTL Corp dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM4.19 sesaham.

 

ytl

 

"Kami terus menyukai YTL sebagai benefisiari kitaran atas infrastruktur memandangkan bahagian dominannya dalam bekalan simen domestik; usaha strategiknya ke dalam pusat data dan tenaga boleh diperbaharui melalui bahagian utilitinya," jelasnya.

 

NSL telah diperbadankan pada 12 Ogos 1961 sebagai sebuah syarikat berhad di Singapura di bawah nama National Iron and Steel Mills Limited. Ia telah disenaraikan di Papan Utama SGX-ST sejak 1964. 

 

Ia mengambil alih nama NatSteel Ltd pada 31 Mei 1990 sebelum mengambil nama semasa NSL Ltd berkuat kuasa dari 15 Oktober 2008. NSL terlibat terutamanya dalam penyediaan pengurusan perkhidmatan dan pegangan pelaburan manakala anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam pembuatan dan penjualan bahan binaan, produk berkaitan minyak dan petroleum dan penyediaan perkhidmatan alam sekitar.

 

Kumpulan NSL menyediakan, antara lain, (i) penyelesaian sistem bangunan berindustri (IBS) melalui komponen konkrit pratuang dan unit bilik mandi pasang siap (PBU) dan (ii) perkhidmatan alam sekitar. - DagangNews.com