Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri meningkat menjadi RM8.9 bilion pada tahun ini - MOF | DagangNews Skip to main content

Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri meningkat menjadi RM8.9 bilion pada tahun ini - MOF

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 di Putrajaya pada 4 April 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Mesyuarat Kewangan Negara hari ini bersetuju menambah baik peruntukan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri kepada RM8.9 bilion tahun ini, berbanding RM8.3 bilion pada 2023 dan RM8.1 bilion pada 2022.

 

Pertambahan pemberian itu melibatkan peningkatan penyelenggaraan jalan kerajaan negeri kepada RM5.4 bilion berbanding RM5.2 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Ia juga melibatkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta selain kenaikan Pemberian Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM200 juta berbanding RM150 juta pada 2023.

 

Selain itu pemberian itu juga merangkumi Penambahan Pemberian Khas Tahunan kepada Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta untuk Sarawak serta RM129.7 juta untuk Sabah pada 2023 selain peningkatan pemberian kepada perpustakaan dan Muzium Negeri sebanyak 10% pada tahun ini.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum. 

 

PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 di Putrajaya. 

 

Beliau berkata, ia adalah berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi Madani, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi.

 

“Peningkatan pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia dan akan diberikan secara serentak. Besarlah harapan saya supaya pemberian ini digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin faedah rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hari ini.

 

Bagi Perbelanjaan Pembangunan, sejumlah RM39.4 bilion disediakan tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan negeri berbanding RM36.7 bilion pada 2023 dan RM28.8 bilion pada 2022.

 

Kelulusan permohonan kerajaan negeri telah diberikan berhubung kesiapsagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti  musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan. 

 

Dalam hal ini, Majlis Kewangan Negara meluluskan pembelian Jambatan Sementara Bailey (Bailey Bridge) menggunakan peruntukan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri secara 'one-off' pada tahun ini dan kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri sebanyak 10% atau RM10 juta. - DagangNews.com