Pembuat sarung tangan getah Harps sasar IPO RM2.1 bilion | DagangNews Skip to main content

Pembuat sarung tangan getah Harps sasar IPO RM2.1 bilion

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Pembuat sarung tangan getah Harps Holdings Sdn Bhd mempertimbangkan untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) bagi menjana kira-kira AS$500 juta atau RM2.1 bilion.

Bloomberg yang memetik `orang yang mengetahui mengenai urus niaga tersebut’, syarikat itu kini mendapatkan khidmat penasihat mengenai potensi penjualan saham, yang mungkin boleh diadakan seawall separuh pertama tahun hadapan.

Harps mahu disenaraikan berikutan permintaan tinggi bagi sarung tangan getah disebabkan pandemic COVID-19, kata sumber tersebut yang enggan nama disiarkan.

Saham-saham Malaysia telah mencatat peningkatkan lebih 30% sejak paras terendah pada Mac lalu, susulan meletusnya COVID-19 mendorong permintaan besar untuk sarung tangan getah perubatan, khususnya saham-saham syarikat pembuat sarung tangan yang disenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Top Glove, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, mencatat peningkatan 6 ganda tahun ini, manakala Supermax Corp Bhd melonjak lebih daripada 1,500%.

Harps mengambil alih pembuat sarung tangan ujian nitrile ringan Central Medicare Sdn Bhd di Teluk Intan, Perak pada 2015 dan kemudahan perkilangan telah bertambah kepada 23 hektar, menurut laman web syarikat.  Central Medicare mengendalikan 24 barisan pengeluaran dengan output bulanan berjumlah 590 juta unit sarung tangan getah sebulan.
 

cen
Kilang pengeluaran sarung tangan getah Central Medicare, milik Harps Holdings di Teluk Intan, Perak. 


Bagaimanapun, rundingan mengenai kemungkinan IPO itu masih di peringkat awal dengan butiran seperti saiz dan tempoh masa mungkin berubah, kata sumber. Wakil Harps Holdings enggan mengulas.

Menurut Bloomberg, ketidaktentuan ekonomi dan politik telah memperlahankan aktiviti IPO di Malaysia. Syarikat-syarikat telah menjana AS$70.7 juta menerusi penjualan saham pertama kali setakat ini bagi tahun 2020, paras terendah untuk tempoh lebih daripada sedekad yang lalu.  – DagangNews.com