Pembukaan semula sempadan merancakkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya | DagangNews Skip to main content

Pembukaan semula sempadan merancakkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya

Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah di Kota Kinabalu.
Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 15 Mac - Keputusan kerajaan membuka semula sempadan bermula 1 April depan adalah amat tepat dan wajar bagi membantu merancakkan semula ekonomi negara, khususnya Sabah menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

 

Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Ekonomi), UiTM Sabah, Herniza Roxanne Marcus berkata, pembukaan semula itu dan peralihan fasa Transisi ke Endemik seperti diumumkan Perdana Menteri baharu-baharu ini akan pasti dapat membantu sektor ekonomi yang terjejas.

 

Katanya, impak utama yang jelas adalah terhadap sektor pelancongan yang paling terjejas sepanjang tempoh pandemik sejak tahun 2020.

 

“Dalam konteks Sabah, segala perancangan yang dibuat kerajaan juga akan dapat dilaksanakan dengan mudah terutamanya membabitkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

 

“Walaupun proses berkenaan akan mengambil masa namun dengan pengumuman pembukaan semula sempadan itu akan pastinya memberi ruang kepada semua untuk kembali aktif,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Herniza berkata, peralihan itu akan memberi nafas baharu kepada ekonomi negeri seperti sebelum pandemik COVID-19 tetapi dalam era norma baharu.

 

Katanya, bagi negeri Sabah pula secara khususnya menerusi pelan SMJ, ia perlu diteruskan dengan telus bersama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang diumumkan kerajaan pusat.

 

“Terutamanya membabitkan projek-projek pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, pusat komersial, elektrik, air, internet dan sebagainya.

Herniza Roxanne Marcus
                    Herniza Roxanne Marcus

 


“Kerajaan negeri juga perlu fokus kepada Perusahan Kecil Sederhana (PKS) atau perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah,” katanya.

 

Herniza berkata, dengan berbekalkan segala usaha itu, ia sudah pasti dapat membantu mengeluarkan Sabah dari belenggu antara negeri yang termiskin di Malaysia. -DagangNews.com

 

ARTIKEL BERKAITAN: SSTC sediakan latihan kemahiran kepada lepasan sekolah, siswazah, golongan diberhenti kerja di Sabah