Pembukaan terowong TRX pada 29 November ini dijangka kurangkan 30% trafik ke pusat bandar | DagangNews Skip to main content

Pembukaan terowong TRX pada 29 November ini dijangka kurangkan 30% trafik ke pusat bandar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Nov - Pembukaan terowong bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) sepanjang lima kilometer mulai 29 November ini dijangka mengurangkan trafik masuk ke pusat bandar sebanyak 30%, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

 

Nanta berkata, terowong TRX yang mempunyai akses langsung kepada Jalan Tun Razak serta Terowong SMART akan membentuk satu pusingan dan memudahkan kenderaan keluar dan masuk dari kawasan pembangunan TRX.

 

"Dengan mengelakkan jalan raya yang sibuk, kenderaan yang menuju ke TRX tidak akan menambah kepada jumlah trafik sedia ada di jalan-jalan sekitarnya.

 

"Kenderaan yang masuk ke TRX melalui terowong pusingan ini akan terus ke tempat letak kenderaan di bawah bangunan dalam kawasan itu," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terowong TRX yang dibina oleh Gadang Engineering (M) Bhd dan WCT Berhad, terdiri daripada dua aras dikhaskan untuk lalu lintas kenderaan dan satu aras bagi perkhidmatan utiliti.

 

Bagi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan TRX, Waze Beacon dipasang dalam terowong untuk menjamin navigasi tanpa gangguan di dalam kawasan tersebut.

 

Menurut Nanta, rangkaian jalan raya terowong TRX akan menghubungkan kawasan TRX kepada 12 lebuh raya serta jalan utama seperti Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

 

 

nanta
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua, kanan) meninjau terowong kenderaan bawah tanah sepanjang lima kilometer menjelang pembukaannya pada 29 November 2023. - Gambar Facebook Alexander Nanta Linggi

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib berkata, pembinaan terowong bawah tanah merupakan sebahagian penting daripada pelaburan RM3 bilion yang ditumpukan kepada pembangunan infrastruktur penting untuk TRX.

 

Katanya, walaupun TRX dirancang sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa, ia turut direka untuk berfungsi sebagai sebuah pembangunan berorientasikan transit (TOD). 

 

"Kami percaya kami telah berjaya mencipta ekosistem bertaraf dunia dengan menggabungkan piawai kelestarian kami, ruang awam yang menarik, dan ketersambungan yang luar biasa," katanya.

 

Pembukaan terowong TRX pada 29 Nov serentak dengan pembukaan pusat beli-belah The Exchange TRX dan Taman Bandar TRX seluas 4 hektar. - DagangNews.com