Pemulihan sektor perdagangan, penghantaran kontena Swift Haulage diramal meningkat secara beransur-ansur | DagangNews Skip to main content

Pemulihan sektor perdagangan, penghantaran kontena Swift Haulage diramal meningkat secara beransur-ansur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Swift Haulage Bhd dijangka mencatatkan peningkatan beransur-ansur dari segi jumlah penghantaran kontena pada tahun ini disokong pemulihan sektor perdagangan.

 

MIDF Research berkata, kebiasaannya pada separuh kedua setiap tahun, keadaan akan menjadi lebih baik bagi perniagaan pengangkutan kontena kerana mereka sedang menghampiri musim puncak.

 

Katanya, memandangkan isu kesesakan pelabuhan, permintaan untuk penyimpanan gudang boleh kekal tinggi. 

 

"Kumpulan dijangka menambah sejumlah 387,000 kaki persegi kapasiti baharu tahun ini.

 

"Kami menjangkakan peningkatan margin kerana kadar penggunaan keseluruhan gudang dijangka meningkat kepada 80% tahun ini, meningkat daripada 74% pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menyaksikan keuntungan bersihnya jatuh 14.3% kepada RM8.33 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM9.72 juta setahun sebelumnya, disebabkan margin keuntungan yang lebih rendah.

 

Bagaimanapun, hasil bagi 2QFY24 meningkat 4.7% kepada RM172.87 juta, daripada RM165.1 juta setahun sebelumnya. 

 

Segmen pengangkutan kontena dan pengangkutan darat secara kolektif menyumbang kira-kira 75.3% daripada jumlah hasil.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), keuntungan bersih melonjak 48.5% kepada RM29.48 juta, daripada RM19.85 juta setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh keuntungan pelupusan yang dicatatkan pada 1QFY24. 

 

Hasil meningkat 6.9% kepada RM352.22 juta, daripada RM329.85 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tiada pelarasan ramalan pendapatan dibuat kerana pihaknya menunggu panduan lanjut daripada pihak pengurusan.

 

"Kami menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'beli' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak 54 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com