Pendapatan AME REIT bagi FY26, FY27 diramal naik sehingga 4% dipacu pengambilalihan 4 hartanah industri di Iskandar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pendapatan AME REIT bagi FY26, FY27 diramal naik sehingga 4% dipacu pengambilalihan 4 hartanah industri di Iskandar Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - RHB Investment menyemak naik ramalan pendapatan FY26 dan FY27 AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) antara 3% hingga 4% selepas mengambil kira cadangan pengambilalihan empat hartanah industri pajakan di Iskandar Malaysia.

 

Katanya, nilai sewaan bagi hartanah dengan bangunan yang siap untuk disewa itu dijangka meningkat antara 2.9% hingga 10% setahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat juga pilihan untuk memperbaharui  tempoh penyewaan bagi tempoh tiga hingga lima tahun lagi.

 

"Kadar penggearan kumpulan dijangka meningkat kepada 27% daripada hanya 14.8% pada 1QFY25 selepas pemerolehan itu siap.

 

"Pada tahap itu, kami menganggarkan bahawa REIT akan mempunyai ruang pembiayaan sebanyak RM380 juta sebelum mencapai had penggearan 50%," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, dua daripada empat hartanah bernilai RM119.5 juta yang diambil alih itu terletak di i-TechValley dan dua lagi di i-Park@Senai Airport City.

 

Hartanah berkenaan mempunyai jumlah kawasan boleh sewa yang dipersetujui sebanyak 391,872 kaki persegi, terdiri daripada kilang berasingan satu tingkat dengan pejabat mezanin dan bangunan tambahan, yang kini disewa kepada penyewa bereputasi baik, 

 

RHB Investment berkata, untung teras 1QFY25 sebanyak RM8.9 juta kumpulan itu adalah sejajar dengan jangkaan 24% daripada ramalan tahun penuh.

 

Katanya, hasil meningkat 8% daripada sumbangan Plot 16 Indahpura yang diperoleh pada Oktober 2023, tetapi turun 1% dari suku tahun ke suku tahun kerana dua hartanah kosong buat sementara waktu sebelum pajakan baharu dimulakan pada Jun.

 

"Pendapatan hanya meningkat 3% disebabkan oleh kedua-dua margin pendapatan hartanah bersih (NPI) lebih rendah dan kos pembiayaan yang lebih tinggi berikutan pengambilalihan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan penarafan kepada 'beli' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.53 sesaham.- DagangNews.com