Pendapatan EP Manufacturing melonjak lebih 50 kali ganda melepasi RM600 juta bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan EP Manufacturing melonjak lebih 50 kali ganda melepasi RM600 juta bagi FY23

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - EP Manufacturing Berhad (EPMB) melaporkan bahawa keuntungan bersihnya melonjak lebih daripada 50 kali ganda pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), yang tertinggi sejak 2014.

 

Syarikat itu berkata, pendapatan yang dicatat melepasi RM600 juta untuk pertama kalinya, dibantu  permintaan kukuh untuk produk kumpulan.

 

Katanya, keuntungan bersih EPMB untuk FY23 ialah RM20.22 juta, berbanding RM0.4 juta pada fiskal 2022, manakala hasil kumpulan ialah RM648 juta, 25.5% lebih tinggi tahun ke tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, keputusan yang lebih baik itu mencerminkan hasil positif daripada langkah transformasi yang dimulakan pada awal 2023, iaitu memfokuskan pada operasi dan pengoptimuman kos.

 

Melangkah ke hadapan, pihaknya akan terus mengukuhkan perniagaan teras mereka dan pada masa yang sama, mengejar peluang pasaran baharu dengan potensi pertumbuhan besar.

 

"2024 dijangka menjadi tahun yang menarik bagi kumpulan kerana kami akan memulakan pembinaan kilang pemasangan kenderaan baharu kami di Melaka. 

 

"Kami akan mengeluarkan dan memasang model kenderaan untuk BAIC International Development Co Ltd dan Great Wall Motor Sales Malaysia.

 

"Saya percaya ini akan membuka peluang pertumbuhan yang lebih besar untuk EPMB, walaupun kami terus meningkatkan rantaian nilai sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

EPMB
Ahmad Razlan Mohamed

 

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23), EPMB melaporkan hasil sebanyak RM199.64 juta, tertinggi dalam sejarah dan peningkatan 26% daripada RM158.38 juta pada suku sebelumnya (3QFY23). 

 

Pertumbuhan hasil terutamanya disebabkan peningkatan dalam jualan alat ganti automotif. Selaras dengan peningkatan hasil, keuntungan bersih ialah RM2.94 juta, 617.1% lebih tinggi daripada RM0.41 juta pada 3QFY23.- DagangNews.com