Pendapatan hartanah bersih KIP REIT meningkat 10.7% kepada RM16.8 juta pada 2QFY24, isytihar DPU 1.55 sen seunit | DagangNews Skip to main content

Pendapatan hartanah bersih KIP REIT meningkat 10.7% kepada RM16.8 juta pada 2QFY24, isytihar DPU 1.55 sen seunit

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mencatat pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM16.8 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), meningkat 10.7% daripada RM15.2 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) pada suku berakhir 31 Disember 2023 ini turut meningkat kepada RM10.6 juta, 31% lebih tinggi berbanding RM8.1 juta tahun lalu dan sejajar dengan itu, pendapatan tersedia untuk pengagihan ialah RM10.9 juta, meningkat sebanyak 30.6%.

 

REIT itu menjelaskan bahawa PAT yang bertambah baik ini didorong oleh sumbangan daripada tiga hartanah perindustrian dan kadar penghunian ruang runcit yang lebih tinggi.

 

Di samping itu, ia mencatat sejumlah RM22.6 juta hasil kasar pada suku dalam tinjauan, 12% lebih tinggi berbanding RM20.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Daripada jumlah tersebut, hartanah pelaburan bagi segmen runcit menyumbang 94.3% manakala segmen perindustrian menyumbang 5.7%.

 

Pada asas kumulatif enam bulan, NPI dan PAT masing-masing meningkat sebanyak 12.9% dan 24.3% kepada RM33.3 juta dan RM21 juta.

 

Ia juga mencatatkan peningkatan 13.7% dalam hasil kasar kepada RM45 juta, berbanding RM39.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pengurus KIP REIT telah mencadangkan pengagihan pendapatan kedua sebanyak RM9.6 juta, diterjemahkan kepada pengagihan seunit (DPU) 1.55 sen.

 

Tarikh tutup buku ditetapkan pada 13 Februari 2024 dan pembayaran cadangan agihan pendapatan akan dibuat pada 29 Februari 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan berkata, kadar penghunian purata terus melebihi 90%, yang menunjukkan daya tarikan hartanah dan keupayaan untuk menarik gabungan pembeli dan penyewa yang betul.

 

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pengambilalihan KIPMall Kota Warisan berada di landasan yang betul, yang mana semua syarat ditetapkan dalam perjanjian jual beli dengan Cahaya Serijaya Sdn Bhd telah dipenuhi dan dijangka selesai menjelang suku pertama 2024.

 

“Pengambilalihan ini akan menjadi tambahan berharga kepada portfolio hartanah pelaburan runcit kami yang akan mengukuhkan lagi kedudukan kami. Setelah selesai pengambilalihan, jumlah kawasan boleh disewa bersih (NLA) kami akan meningkat kira-kira 10%.

 

“Kami optimistik dengan berhati-hati untuk mengekalkan prestasi kewangan yang stabil sepanjang tahun kewangan ini sambil kami terus menilai peluang pertumbuhan dalam pasaran,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut. - DagangNews.com