Pendapatan Leong Hup dijangka sedikit terjejas ekoran jualan ternakan dan produk ayam di Indonesia berkurang – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Leong Hup dijangka sedikit terjejas ekoran jualan ternakan dan produk ayam di Indonesia berkurang – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan - Pendapatan Leong Hup International Berhad dijangka sedikit terkesan oleh pengurangan jualan ternakan dan produk ayam di Indonesia.

 

Setelah mengambil kira hasil yang lebih rendah di Indonesia, MIDF Research menurunkan unjuran pendapatan pengeluar ayam ternakan bersepadu Asia Tenggara tersebut bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 9.7%, 7.3% dan 5.9%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan untuk produk ayam di Indonesia berterusan lemah disebabkan kuasa membeli berkurang.

 

Menurut firma tersebut, Persatuan Penternak Lapisan Nasional Indonesia melaporkan fenomena ketara dalam pemusnahan awal penternak lapisan, didorong oleh peningkatan kos pengeluaran (akibat harga jagung makanan ternakan yang tinggi di Indonesia) dan pengurangan kuasa beli rakyat.

 

“Kami melihat kemerosotan ketara dalam purata harga bulanan burung hidup dan anak ayam umur sehari (DOC) di kawasan Jawa di Indonesia, berikutan kemuncaknya pada Jun dan Julai 2023.

 

“Kemerosotan ini menggariskan kelembapan permintaan pengguna yang berpanjangan dalam negara itu pada jangka masa terdekat,” katanya sambil menambah bahawa Jawa menyumbang 50% kepada pasaran ayam di Indonesia

 

Selain itu, firma tersebut turut menjangkakan kos makanan ternakan di Indonesia akan terus meningkat disebabkan fenomena El-Niño yang berpanjangan sehingga suku pertama tahun ini.

 

Walaupun kilang makanan ternakan Leong Hup di Indonesia berjaya menyalurkan peningkatan kos kepada pemain ternakan, MIDF Research berkata operasi pertengahannya di Indonesia (termasuk ayam daging, penternak dan ladang lapis komersial) beroperasi pada kos lebih tinggi berbanding operasi serantau yang lain.

 

“Corak cuaca yang berterusan ini akan terus mengehadkan bekalan jagung, menyebabkan harga jagung pada paras tinggi. Oleh itu, kos makanan ternakan di Indonesia dijangka kekal lebih mahal berbanding penggiat serantau lain, terutamanya Malaysia,” katanya.

 

Bagi jangka pertengahan hingga panjang, MIDF Research berkata ia positif terhadap potensi Leong Hup untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat bagi produk berkaitan ayam di Indonesia.

 

Ini memandangkan populasi Indonesia hampir lapan kali lebih besar daripada Malaysia, namun penggunaan ayam per kapita pada 2022 hanyalah 8.21kg, jauh lebih rendah daripada 50.2kg Malaysia, jelasnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada 83 sesaham daripada 90 sen sebelum ini.  - DagangNews.com