Pendapatan Mah Sing meningkat kurang 1% pada 4QFY23, isytihar dividen 4 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Mah Sing meningkat kurang 1% pada 4QFY23, isytihar dividen 4 sen sesaham

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Feb - Mah Sing Group Bhd mencatatkan pendapatan sebanyak RM671.28 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), meningkat marginal berbanding RM670.87 juta setahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun bagi suku yang sama, untung bersih Mah Sing melonjak sebanyak 38% kepada RM64.74 juta berbanding RM46.78 juta tahun 4QFY22.

 

Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh margin yang lebih tinggi dan kos kewangan bersih yang lebih rendah, kata pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi tahun penuh 2023, keuntungan bersih meningkat hampir 20% kepada RM215.29 juta berbanding RM180.05 juta pada 2022, hasil daripada jualan hartanah yang lebih tinggi dan hasil daripada kemajuan pembinaan yang berterusan. 

 

Jualan belum dibil pula berjumlah RM2.33 bilion dan Kumpulan itu mengisytiharkan dividen sebanyak empat sen sesaham untuk 2023.

 

Sementara itu, dalam kenyataan media, Mah Sing berkata, Kumpulan itu menyasarkan jualan hartanah bagi FY24 sebanyak RM2.5 bilion setelah berjaya melepasi unjuran pada tahun lalu.

 

Bagi 2023, Mah Sing meletakkan sasaran RM2.2 bilion tetapi berjaya meraih jualan RM2.26 bilion yang disokong oleh rangkaian projek dalam segmen perumahan pada harga sederhana.

 

"Pembangunan kediaman Siri-M telah mengukuhkan Kumpulan dalam pasaran kediaman domestik, meletakkannya sebagai peneraju dalam perumahan harga mampu milik kelas pertengahan di Lembah Klang dan kawasan pinggir bandar. 

 

"Kejayaan ini dikaitkan dengan formula yang terbukti, menggabungkan harga menarik dengan tidak berkompromi kepada kualiti dan menawarkan  kemudahan gaya hidup yang komprehensif. 

 

"Selain itu, Kumpulan menjangkakan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen perindustrian ke hadapan, melengkapkan kediaman tumpuannya," katanya.

 

Mah Sing berkata ia merancang untuk melancarkan semua pembangunan baharu menjelang akhir 2024 dan menjangkakan "sumbangan awal" daripada tanah perindustrian yang baru diperolehnya.

 

Pada 2023, syarikat itu memperoleh enam bidang tanah dengan potensi besar nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM6.23 bilion, termasuk sebidang tanah perindustrian baharu di Sepang yang mempunyai potensi GDV sehingga RM2 bilion.

 

Mah Sing berkata ia mempunyai dana pemilikan kosong sehingga RM500 juta tahun ini, yang akan menjana aliran tunai percuma yang ketara.  - DagangNews.com