Pendapatan Malakoff dijangka lebih baik pada 3QFY23 kerana harga arang batu telah stabil – Aminvest Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Malakoff dijangka lebih baik pada 3QFY23 kerana harga arang batu telah stabil – Aminvest Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - AmInvest Research menjangkakan pendapatan Malakoff lebih baik pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berikutan harga arang batu telah stabil.

 

“Kami menjangkakan 3QFY23 yang lebih baik kerana harga arang batu telah ke paras terendah dan stabil.

 

“Sejak jatuh ke paras terendah AS$131 setiap tan pada 1 Jun, harga arang batu telah berlegar antara AS$130 dan AS$150 setiap tan.

 

“Menurut Bloomberg, konsensus meramalkan purata harga arang batu AS$170 setiap tan sehingga akhir tahun ini berbanding AS$346 pada 2022,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, AmInvest menjangkakan pendapatan kumpulan tersebut dalam 2QFY23 tidak memberangsangkan disebabkan margin bahan api dijangka kekal negatif kerana harga arang batu telah menurun sebanyak 22% dari akhir 1QFY23 hingga akhir 2QFY23.

 

Namun, firma penyelidikan itu percaya kerugian margin bahan api pada 2QFY23 tidak akan sebesar RM109 juta pada 1QFY23 kerana kejatuhan harga arang batu sebanyak 22% pada 2QFY23 adalah lebih kecil daripada kejatuhan 51% dalam 1QFY23.

 

Selain itu, Malakoff sedang memberi tumpuan kepada projek solar atas bumbung, di mana ia telah memperoleh projek baharu sebanyak 11MWp (megawatt puncak) setakat ini.

 

Pada masa ini, Malakoff mempunyai portfolio 40MW projek solar yang terdiri daripada 14MW (kapasiti berkesan) projek LSS dan 26MW kerja atas bumbung solar.

 

“Walaupun pendapatan daripada projek solar adalah tidak ketara kerana saiz yang kecil, kami melihatnya secara positif kerana Malakoff akan dapat mengurangkan pendedahannya kepada arang batu secara beransur-ansur,” katanya.

 

Sementara itu, Tanjung Bin Energy (TBE) telah stabil selepas terjejas oleh gangguan tidak dirancang tahun lepas dengan kadarnya di bawah 10% pada masa ini.

 

Malakoff juga sedang mencari pembeli untuk loji kuasa gas GB3, yang tamat tempoh pada akhir FY22 dengan nilai bakinya berjumlah RM90 juta.

 

AmInvest Research mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) 70 sen sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham Malakoff didagangkan pada 61.5 sen, menokok 0.5 sen atau 0.8% dengan modal pasarannya berjumlah RM3.08 bilion. - DagangNews.com