Pendapatan suku ketiga Sunway REIT jatuh 25.9% akibat PKP 2.0 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan suku ketiga Sunway REIT jatuh 25.9% akibat PKP 2.0

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mei - Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 telah ‘mengheret’ turun pendapatan kasar Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) yang berakhir 31 Mac lalu sehingga 25.9%. 

 

Ini menyaksikan penurunan daripada RM140.8 juta yang dicatatkan pada suku sama bagi tahun lalu kepada RM104.3 juta, menurut makluman Sunway REIT di Bursa Malaysia, lewat petang semalam.

 

Seiring itu, pendapatan hartanah bersih (NPI) kumpulan juga menyusut 35.3% kepada RM67 juta daripada  RM103.5 juta.

 

“Prestasi kewangan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lemah daripada segmen runcit dan hotel kerana pelaksanaan PKP 2.0. Namun, sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pejabat dan perkhidmatan. 

 

“Segmen runcit mencatatkan pendapatan kasar dan NPI, masing-masing sebanyak RM53.7 juta dan RM23.9 juta bagi 3QFY21. Dibandingkan dengan suku sama bagi tahun kewangan lalu, segmen runcit mencatatkan pendapatan kasar dan NPI, masing-masing bernilai RM98.3 juta dan RM67.1 juta,” jelas Sunway REIT. 

 

Bagi segmen hotal pula, Sunway REIT menyaksikan pendapatan kasar menyusut kepada RM14.4 juta berbanding RM15.3 juta. 

 

Jelas kumpulan itu, prestasi kewangan ini terus terjejas oleh sekatan rentas negeri, daerah dan perjalanan di dalam kawasan ketika PKP 2..

 

Dalam pada itu, perolehan sesaham (EPS) Sunway REIT juga menyaksikan penurunan yang ketara daripada 2.06 sen kepada 0.94 sen.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY21 (9MFY21), Sunway REIT mencatatkan pendapatan kasar yang menyusut 32% daripada RM452.0 juta kepada RM307.5 juta. 

 

Jelas kumpulan itu, prestasi kewangannya bagi tempoh berkenaan menerima impak negatif daripada pelbagai peringkat perintah kawalan pergerakan yang menjejaskan operasi perniagaan di segmen runcit dan hotel. 

 

“Sunway REIT terus berhati-hati terhadap prospek bagi sepanjang tahun ini ekoran pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara dan ketidaktentuan yang membelenggu landskap operasi perniagaan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. 

 

Jeffry Ng
Jeffry Ng

 

“Program vaksinasi perlu dipercepatkan kerana penting dalam mengekang kadar jangkitan supaya ekonomi dapat pulih semula,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat pengurus kepada Sunway REIT, Datuk Jeffry Ng. - DagangNews.com