Pendapatan Swift Haulage pada 3QFY23 dijangka kekal lemah kesan cabaran persekitaran ekonomi – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Swift Haulage pada 3QFY23 dijangka kekal lemah kesan cabaran persekitaran ekonomi – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Pendapatan Swift Haulage Berhad pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) dijangka kekal lemah disebabkan cabaran persekitaran makro, yang menjejaskan kadar logistik Swift, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Selain itu, firma penyelidikan tersebut berkata kos operasi yang lebih tinggi, disebabkan skala operasi kurang optimum, telah berterusan di tengah-tengah usaha berterusan untuk mempertingkatkan gudang baharu.

 

Mengulas tentang skop cukai perkhidmatan yang diperluaskan untuk memasukkan sektor logistik seperti dicadangkan dalam Bajet 2024 pada 13 Oktober, firma itu berkata Swift dijangka tidak terjejas kerana cukai perkhidmatan akan ditanggung oleh pelanggannya.

 

Secara positifnya, Maybank IB berkata Swift telah secara proaktif memulakan perjalanannya lestari walaupun berhadapan kelembapan ekonomi, termasuk bahagian logistik hijau dan penggunaan lori terminal elektrik.

 

“Selain itu, ia telah menyerahkan lori elektrik pertama Malaysia kepada Unilever (salah satu pelanggan utamanya), menandakan penggunaan pertama kenderaan elektrik Swift dalam rantaian bekalan tempatannya. Swift komited untuk mendapatkan hanya lori atau trak elektrik mulai 2030 dan seterusnya,” katanya.

 

Walaupun ia mengiktiraf komitmen Swift terhadap kemampanan dan pengembangan, firma itu berkata terdapat risiko pelaksanaan berikutan cabaran makro pada masa ini.

 

Di samping itu, firma itu berkata pada 3QFY23, Swift telah menandatangani perjanjian pajakan tanah perindustrian bernilai RM4.4 bilion sehingga 30 tahun (dengan pilihan untuk memperbaharui) dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Terengganu.

 

Ini adalah untuk mengembangkan kehadirannya di wilayah Pantai Timur bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan utamanya dalam sektor minyak dan gas/industri petrokimia.

 

“Kami positif dengan langkah ini. Bagaimanapun, ini memerlukan belanjawan tambahan yang mungkin membebankan lagi kunci kira-kiranya yang sudah mempunyai pinjaman tinggi.

 

“Pemulangan bagaimanapun, dijangka mengambil masa untuk menjadi kenyataan. Kami masih belum memasukkan perkembangan ini ke dalam ramalan pendapatan kami,” tambahnya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 52 sen sesaham.

 

Pada pukul 9:51 pagi ini, saham Swift Haulage kekal pada 52.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM467.2 juta. - DagangNews.com