Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Mac - Aspirasi MyDigital hanya akan menjadi realiti sekiranya setiap rakyat bersama pihak swasta dan kerajaan komited dalam menyahut seruan ini dan memainkan peranan masing-masing.
Menteri (Ekonomi), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jika tidak, Malaysia akan ketinggalan dari segi pendigitalan dan dan negara juga tidak mampu mencapai matlamatnya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Katanya, atas sebab itulah, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia ini dirangka dengan mengambil kira segenap lapisan rakyat Malaysia
"Hakikatnya, kita tiada pilihan selain menerima dan menggunapakai teknologi digital. Baik kerajaan, perniagaan mahupun setiap dari rakyat tanpa mengira apa jua demografi dan latar belakang perlu memanfaatkan teknologi digital dalam segenap aspek kehidupan.
"Tua ataupun muda, di bandar ataupun desa, apa jua tahap pendidikan atau kerjaya, rangka tindakan ini adalah untuk setiap daripada kita," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada setiap rakyat Malaysia untuk merebut segala ruang dan peluang yang ada, yang terkandung di dalam rangka tindakan ini, dan manfaatkannya dengan sebaik-baiknya.
"Dengan memanfaatkan segala peluang pendigitalan yang ada serta berkat usaha bersama, kita akan dapat meningkatkan taraf hidup setiap rakyat," tambahnya.
Baca : MyDigital dilaksana 3 fasa, tarik RM70 bilion pelaburan
Pada masa sama, Mustapa turut mengalu-alukan pandangan dan maklum balas dari semua pihak terhadap rangka tindakan ini dan segala perancangan dan strategi yang terkandung di dalamnya.
Katanya, pandangan dan maklum balas daripada semua pihak akan membantu memastikan rangka tindakan ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan aspirasi MyDigital juga akan terlaksana.
Secara amnya, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menggariskan 3 objektif iaitu menggalakkan pemain industri menjadi pencipta, pengguna dan yang menerima guna model perniagaan inovatif di bawah ekonomi digital.
Selain itu, ia juga memanfaatkan modal insan yang boleh berjaya dalam ekonomi digital dan mewujudkan ekosistem yang bersepadu.
Menurut beliau, antara perkara disasarkan oleh rangka tindakan ini adalah untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia, antara bandar dan desa, generasi muda dan tua.
"Tambahan pula, pandemik COVID-19 menyedarkan kita bahawa penerima gunaan teknologi digital yang berupaya membantu melindungi rakyat daripada risiko ekonomi digital, perlu disegerakan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan menyedari betapa besarnya agenda pendigitalan ini kerana telah meneliti
keseluruhan perjalanan pendigitalan negara bermula sejak 1996 dan turut mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Pandemik COVID-19 telah menyedarkan kita akan kepentingan usaha pendigitalan ini disegerakan bukan sahaja untuk kita bangkit semula dari segi ekonomi setelah berhadapan dengan pandemik ini, malah lebih dari itu, agar kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua krisis pada masa hadapan.
"Pengalaman ini turut menyedarkan kita akan beberapa kelemahan dan jurang dalam struktur ekonomi kita yang perlu ditangani dengan segera," tambahnya.
Sebagai contoh, ujar beliau, pandemik ini memberikan kesan kepada kumpulan B40 lebih daripada kumpulan T20 dan M40 serta perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berbanding syarikat-syarikat besar.
Bagi memastikan agenda pendigitalan ini mencapai kejayaan, Unit Perancang Ekonomi akan menyelia Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO), jelas Mustapa.
SCMO ini akan menjalankan 3 peranan iaitu melaksanakan pengurusan perubahan bagi Dasar 4IR Negara dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Ini termasuklah memantau kemajuan dan menilai prestasi inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan, terutama bagi memupuk pemikiran digital dan inovatif di kalangan rakyat, serta berperanan sebagai urus setia Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara. - DagangNews.com