KUALA LUMPUR 30 Nov - Penerima Nobel Peace Laureate 2006, Prof Muhammad Yunus menerima Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 2, pada 28 November 2022.
Dalam majlis itu, Sultan Selangor yang juga Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan ijazah kehormat kepada Mohammad Yunus.
Sumbangan Mohammad Yunus dalam bidang ekonomi dan perniagaan telah diiktiraf oleh 10 buah negara diberikan anugerah seperti Tun Abdul Razak Award (1994) dari Malaysia, World Habitat Award (1997) dari the United Kingdom, Gandhi Peace Prize (2000) dari India, Petersberg Prize (2004) dari Amerika Syarikat dan yang terakhir Nobel Peace Prize (2006) dari Norway.
Beliau merupakan pengasas pinjaman mikro kredit kepada golongan tidak berkemampuan untuk memulakan perniagaan jangka panjang setelah Bangladesh mengalami krisis kebuluran pada tahun 1974.
Bertitik tolak dari situ, beliau mula mengembangkan mikro kredit yang merupakan pilihan terbaik untuk membasmi kemiskinan dengan menubuhkan Grameen Bank.
Mohammad Yunus juga merupakan seorang daripada hanya tujuh individu yang menerima Hadiah Nobel Peace, Pingat Kebebasan Presiden United States dan Pingat Emas Kongress United States.
Bagi pengiktirafan ini, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM akan mengupayakan beliau sebagai Pemegang Kursi Menteri Besar Selangor (MBI) untuk tempoh tiga tahun bagi membentuk kepimpinan dalam mengupayakan penyelidikan dan pengajaran dalam bidang pengurusan, perniagaan dan ekonomi.
Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Prof Dr Bany Ariffin Amin Noordin berkata, kerjasama bersama Mohammad Yunus itu secara langsung membantu UPM terutama dalam aktiviti bisnes sosial serta program komuniti berdasarkan hasil kerja 'Yunus Social Business'.
“Dengan adanya tokoh-tokoh sebegini mereka mempunyai pengalaman yang banyak serta pengalaman mereka boleh dikongsikan bersama fakulti dan universiti untuk memperkukuhkan pengajaran dan jaringan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dengan adanya jaringan bersama Tokoh Nobel Laureate secara langsung akan meningkatkan imej serta pembelajaran UPM dalam memperluaskan jaringan bisnes sosial yang dapat dimanfaatkan di masa akan datang. - DagangNews.com