Penganalisis kekal jangkaan kenaikan OPR pada separuh kedua 2022 | DagangNews Skip to main content

Penganalisis kekal jangkaan kenaikan OPR pada separuh kedua 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Mei - Di sebalik langkah agresif Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah, penganalisis mengekalkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) hanya akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2022. 

 

CGS-CIMB Research berkata, perbezaan kadar dasar yang lebih luas terhadap ASEAN mungkin menyebabkan ketidaktentuan yang lebih besar dalam kadar tukaran asing di peringkat serantau, tetapi bank pusat dilihat mungkin tidak senada dengan Fed kerana tumpuan diberikan terhadap ekonomi domestik. 

 

Bagi Malaysia, katanya, ia mungkin mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas pergerakan dasar monetari berbanding negara serantau ASEAN yang lain.

 

Menurut firma itu, Malaysia juga merupakan penerima manfaat utama harga komoditi yang tinggi, terutama dengan trend kenaikan harga minyak sawit dan gas asli, justeru, aliran masuk dalam akaun semasa boleh mengimbangi aliran keluar akaun kewangannya.

 

"Selain itu, ia mempunyai langkah lain yang boleh digunakan untuk meminimumkan ketidaktentuan ringgit, termasuk menggalakkan syarikat milik kerajaan (GLC) mengembalikan wang dari luar negara, yang telah dilakukannya selepas krisis pada 2013.

 

"Setakat ini, BNM terus mengulangi pendirian berhati-hati, bertentangan dengan Fed, dan kami percaya bank pusat akan memberi tumpuan berterusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran 2 kali kenaikan OPR dengan 25 mata asas bagi setiap kenaikan pada separuh kedua ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Rabu, Fed mengumumkan kenaikan kadar faedahnya, yang merupakan kenaikan terbesar dalam tempoh lebih 2 dekad bagi menangani tekanan inflasi di Amerika Syarikat (AS).

 

Ia menaikkan penanda aras kadar faedah sebanyak 50 mata asas kepada kadar julat sasaran antara 0.75 hingga 1%.

 

Fed

 

 

Kenaikan itu adalah yang terbesar sejak 2000 berikutan peningkatan 0.25 mata peratus pada Mac lalu, kenaikan pertama sejak Disember 2018.

 

Fed juga berkemungkinan menaikkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas pada 2 mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang yang dijadualkan pada 15 Jun dan 27 Julai 2022.

 

BNM pada Mac lalu, memutuskan untuk mengekalkan OPR yang menjadi penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan, pada 1.75%.

 

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif, dengan angkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus memberi sokongan kepada kegiatan ekonomi.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research turut mengekalkan jangkaan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada suku keempat 2022. 

 

Bagaimanapun, katanya, dalam mesyuarat akan datang (pada 11 Mei 2022), BNM dijangka mengekalkan kadar itu pada 1.75%. 

 

"Ini memandangkan, pemulihan ekonomi di Malaysia adalah lebih terurus manakala tekanan inflasi adalah lebih rendah, jika dibandingkan dengan AS," jelasnya.

 

MIDF Research pula menjangkakan Fed akan berhati-hati untuk mengimbangi keperluan bagi mengetatkan dasarnya bagi menangani inflasi yang tinggi dan kemungkinan risiko kelembapan ekonomi yang meluas disebabkan oleh kos pinjaman yang lebih tinggi.

 

"Oleh itu, kami kini menjangkakan Fed akan meneruskan kenaikan kadar dananya dalam mesyuarat akan datang akhir tahun ini, dengan kemungkinan kenaikan 50 mata asas pada setiap mesyuarat, menjadikan kadar itu meningkat kepada 2 hingga 2.5%," tambahnya. - DagangNews.com