Penganalisis optimis pasaran buruh kembali pulih | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis pasaran buruh kembali pulih

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Pembukaan semula ekonomi dan kadar vaksinasi tinggi akan menjadi antara faktor yang mendorong kepada pemulihan pasaran tenaga buruh di negara ini. 

 

Statistik Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan semalam menunjukkan kadar pengangguran di negara ini terus berkurangan kepada 4.5% membabitkan 729,600 penganggur pada September lalu berbanding 4.6% pada bulan sebelumnya.

 

Bilangan penduduk bekerja juga terus meningkat sebanyak 0.6% bulan ke bulan mencatatkan 15.46 juta orang berbanding Ogos iaitu 15.38 juta orang.

 

MIDF Research berkata, permintaan domestik yang semakin bertambah baik dan kelonggaran sekatan pergerakan akan menyaksikan syarikat mengambil lebih banyak pekerja dalam tempoh beberapa bulan akan datang sekali gus mendorong kepada pemulihan pasaran buruh.

 

Berdasarkan data terkini Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan kehilangan pekerjaan (LOE) susut kepada 4,279 pada Oktober berbanding 5,415 pada bulan sebelumnya, terendah sejak Mei 2021.

 

Di sebalik LOE yang lebih rendah ini, kebanyakan mereka yang hilang pekerjaan adalah daripada sektor pembuatan, borong dan perdagangan runcit. 

 

"Dalam hal ini, aktiviti perkilangan yang semakin meningkat akan terbatas dengan cabaran dalam rantaian bekalan, harga komoditi tinggi dan prospek pertumbuhan yang lembap di beberapa negara rakan dagang Malaysia disebabkan penularan jangkitan COVID-19. 

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat prospek pekerjaan dalam sektor perdagangan akan terus disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam permintaan luaran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dengan mengambil kira semua faktor ini, firma itu mengekalkan unjuran kadar pengangguran akan berlegar pada purata 4.5% bagi tahun ini. 

 

Baca : Kadar pengangguran September menurun kepada 4.5% 

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research menjangkakan kadar pengangguran tahun ini akan berada pada paras 4.4% berbanding 4.8% sebelum ini didorong pembukaan semula ekonomi. 

 

Bagaimanapun, ia mendapati bilangan mereka yang bekerja sendiri berkembang lebih pantas berbanding kategori pekerja. 

 

"Ini bermakna peluang pekerjaan dalam ekonomi sebenar masih lagi perlahan dan ramai yang masih bekerja sendiri dalam bentuk perniagaan mikro," jelasnya. 

 

UOB Global Economics & Markets Research pula berkata, peruntukan kerajaan lebih RM8.5 bilion bagi membantu mewujudkan dan mengekalkan pekerjaan di bawah Bajet 2022 dilihat akan merangsang pasaran buruh di negara ini. 

 

Katanya, antara inisiatif utama itu termasuklah JaminKerja yang memberi jaminan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion, kesinambungan insentif pengambilan pekerja dan MySTEP, serta peruntukan RM1.1 bilion untuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan pasaran buruh akan terus mempamerkan pemulihan kukuh pada suku keempat ini hinggalah memasuki tahun hadapan.

 

"Kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran tahun ini pada 4.2% (berbanding unjuran Kementerian Kewangan, 4.6 hingga 4.8%) dan 3.6% pada 2022 (berbanding unjuran Kementerian Kewangan, 4%)," katanya. - DagangNews.com