Penganalisis unjur KDNK suku pertama menguncup 0.2-0.5% | DagangNews Skip to main content

Penganalisis unjur KDNK suku pertama menguncup 0.2-0.5%

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Dua firma penyelidikan, UOB Research dan CGS-CIMB mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup lebih kecil bagi suku pertama 2021 (1Q21), masing-masing -0.5% dan -0.2% dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Bagi dua penganalisis di UOB Research, Julia Goh dan Loke Siew Ting, data ekonomi negara yang terkini bagi Januari hingga Mac mungkin memberi ‘kejutan’ dengan penguncupan KDNK yang lebih kecil berbanding 4Q20 walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 diperkenalkan semula antara 13 Januari hingga 4 Mac 2021. 

 

Ramalan itu dibuat berdasarkan pemulihan yang kukuh dalam aktiviti pembuatan dan perdagangan luar, sementara segmen perkhidmatan dilonjakkan oleh penggunaan digital yang lebih tinggi, sokongan dasar dan permintaan kembali sedia kala, jelas mereka. 

 

“Bagaimanapun, penutupan sempadan antarabangsa dan sekatan perjalanan rentas negeri akan terus menjejaskan sektor berkaitan pelancongan terutamanya penginapan, makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan. 

 

“Perintah sekatan yang terbaharu di bawah PKP 3.0 dan ketidaktentuan yang masih ada dijangka memberi impak ke atas ekonomi dalam masa terdekat, namun tidak merencatkan pemulihan,” jelas UOB dalam nota kajiannya. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran KDNK sepanjang tahun pada kadar 5.0% berbanding penguncupan 5.6% pada tahun lalu. 

 

Tambah Goh dan Siew Ting, impak PKP 3.0 dijangka kurang teruk dengan hampir semua sektor ekonomi utama dibenarkan beroperasi. 

 

Dalam pada itu, program vaksinasi di negara ini juga dijangka dipercepatkan bermula pertengahan tahun dan seterusnya, memandangkan lebih banyak vaksin tiba di Malaysia sekali gus melonjakkan sentimen dan pemulihan. 

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dijangka mengeluarkan laporan KDNK bagi 1Q21 pada esok, 11 Mei 2021.

 

CGS-CIMB sebaliknya mengunjurkan penguncupan yang lebih kecil pada kadar -0.2% disokong oleh pemulihan sektor pembuatan yang kukuh dan sektor perkhidmatan dan pembinaan yang dibenarkan beroperasi. 

 

Walaupun PKP 3.0 mendatangkan risiko jangka pendek dengan potensi kelewatan program vaksinasi, namun firma penyelidikan itu masih mengekalkan unjuran KDNK sepanjang tahun pada kadar 5.7%.

 

Dalam nota kajian berbeza oleh CGS-CIMB, firma penyelidikan itu yakin PKP 3.0 dijangka kurang ‘menyakitkan’ berbanding dua pelaksanaan serupa sebelum ini, walaupun penguatkuasaan berkenaan ketika ini telah diperluaskan ke lebih banyak kawasan dan negeri. 

 

Baca : Negara berdepan kerugian harian RM150-300 juta ekoran PKP 3.0

 

“Bagaimanapun, kami bimbang sekiranya risiko perolehan korporat akan meningkat jika penguatkuasaan ketika ini gagal untuk melandaikan lengkungan jangkitan COVID-19 dalam tempoh bulan hadapan memandangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dijangka hanya bermula Jun apabila lebih banyak vaksin tiba, bagi Fasa 3. 

 

“Kebimbangan terhadap kes COVID-19 yang kian meningkat akan menjejaskan sentimen jangka pendek dan mendorong pelabur untuk mengambil keuntungan ke atas saham pemulihan seperti bank, kenderaan, REIT, hartanah, pembinaan dan pelancongan serta saham-saham yang berprestasi baik,” tambah CGS-CIMB dalam nota kajiannya bertarikh hari ini. - DagangNews.com