Pengaruh Kecerdasan Buatan AI di dalam pengurusan kualiti sektor perindustrian | DagangNews Skip to main content

Pengaruh Kecerdasan Buatan AI di dalam pengurusan kualiti sektor perindustrian

Oleh Ts. ABD MUTALIB BIN ABD GAPAR

JANUARI lalu, Perdana Menteri telah melancarkan program AI untuk rakyat bertujuan untuk menyediakan pemahaman asas mengenai ‘Kecerdasan Buatan’ (Artificial Intelligence atau AI) bagi membuka peluang memperdalam pengetahuan teknologi dalam dunia digital.

 

Satu Langkah yang amat relevan supaya negara dapat bersaing ataupun setidaknya dapat seiring dengan kemajuan teknologi dari negara luar.

 

Bagaimana pula dengan pemain-pemain industri tempatan di Malaysia terutamanya dari sektor kecil dan sederhana?

 

Adakah mereka sudah bersedia untuk bersaing dan kekal relevan di dalam industri? Saya cuba mengulas dari konteks ‘Pengurusan Kualiti’ di dalam sektor Perindustrian.

 

Dalam era Revolusi Industri 4.0 yang semakin pesat, teknologi telah menjadi satu elemen yang tidak dapat dipisahkan di dalam sektor industri. Salah satu teknologi yang semakin mendapat perhatian adalah AI.

 

Kecerdasan buatan, dengan keupayaannya untuk memproses data dan mengambil keputusan secara autonomi, telah mengubah landskap pengurusan kualiti di dalam sektor perindustrian.

 

Industri 4.0 telah mengubah landskap perindustrian dengan memperkenalkan teknologi dan inovasi yang memberi perubahan yang drastik. Dalam konteks ini, pengurusan kualiti juga mengalami perubahan yang signifikan.

 

Konsep pengurusan kualiti dalam Industri 4.0 melibatkan pendekatan yang holistik dan berpusatkan kepada teknologi serta data.

 

Sebelum memahami konsep pengurusan kualiti dalam Industri 4.0, penting untuk mengerti apa itu Industri 4.0. Industri 4.0 merujuk kepada era di mana teknologi digital dan teknologi maklumat berkembang dengan pesat, termasuk kecerdasan buatan, lnternet Benda (IoT), Awan, Data Raya, dan pengautomasian.

 

Dalam Industri 4.0, sistem-sistem berkomunikasi antara satu sama lain dan memproses data dalam masa nyata (real time) untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

 

Konsep pengurusan kualiti dalam konteks Industri 4.0 adalah perubahan dari pendekatan konvensional kepada pengurusan kualiti.

 

Satu perkara utama ialah keberkesanan dan kecekapan dalam menguruskan kualiti produk atau perkhidmatan. Seorang pengurus kualiti di Industri 4.0 perlu memahami kepentingan penggunaan teknologi dan data dalam semua aktiviti.

 

Dalam era ini, terdapat beberapa elemen penting dalam pengurusan kualiti yang perlu diberikan penekanan.

 

Pertama, adalah pematuhan standard kualiti yang ditetapkan. Dalam Industri 4.0, standard kualiti tidak lagi dianggap hanya panduan, tetapi diintegrasikan ke dalam sistem pengurusan untuk memastikan proses yang lancar dan kualiti yang konsisten.

 

Kedua, adalah kesedaran terhadap keperluan untuk pengukuran dan penilaian kualiti secara berterusan. Dengan adanya teknologi sensor dan pengumpulan data secara automatik, sistem kecerdasan buatan dapat digunakan untuk memantau dan menganalisis parameter kualiti secara masa sebenar.

 

Sistem AI dapat mengenal pasti pola dan trend yang mungkin sulit untuk dilihat oleh manusia, serta memberikan cadangan untuk meningkatkan kualiti produk atau proses.

 

Konsep Pengurusan Kualiti dalam Konteks Industri 4.0

Industri 4.0 telah membawa perubahan yang signifikan dalam dunia perindustrian. Dalam era ini, pengurusan kualiti juga mengalami evolusi yang penting.

 

Konsep pengurusan kualiti dalam konteks Industri 4.0 telah menggabungkan teknologi canggih dan pendekatan holistik untuk mencapai tahap optimum kualiti di dalam sesebuah proses dan penghasilan produk.

 

Industri 4.0 adalah era revolusi industri yang mencakupi penggunaan teknologi digital dan komunikasi yang lebih efisien. Dalam konteks ini, pengurusan kualiti terfokus pada penggunaan teknologi dan data untuk meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan yang dihasilkan.

 

Satu aspek penting dalam konsep pengurusan kualiti dalam Industri 4.0 adalah penerapan teknologi seperti  IoT, AI dan analisis data.

 

Dengan menggunakan teknologi ini, pemain industri dapat mengumpulkan data secara masa sebenar dan mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang prestasi operasi mereka.

 

Dengan adanya data yang sangat terperinci dan disampaikan dengan cepat, pengurus kualiti dapat mengenalpasti potensi peningkatan serta mengatasi masalah dengan lebih efisien.

 

Selain teknologi, pendekatan pengurusan kualiti dalam Industri 4.0 juga mementingkan kerjasama antara pelbagai pihak. Kerjasama yang efektif antara syarikat, pembekal, dan pelanggan sangat penting dalam mencapai kualiti yang optimum.

 

Dalam konteks ini, pengurusan rantai bekalan juga memainkan peranan penting dalam menyokong pengurusan kualiti yang optimum di dalam Industri 4.0.

 

Kesan Industri 4.0 terhadap Pengurusan Kualiti di Malaysia

Salah satu kesan utama Industri 4.0 terhadap pengurusan kualiti di Malaysia adalah penggunaan teknologi yang canggih dan berhubungan antara peranti (IoT).

 

Teknologi sensor dan sistem IoT membolehkan pengumpulan data secara automatik dari pelbagai peralatan dan mesin dalam persekitaran pengeluaran.

 

Data ini kemudiannya dianalisis secara masa sebenar untuk mengesan sebarang isu atau kecacatan yang mungkin timbul semasa melalui proses pengeluaran atau pembuatan.

 

Dengan memanfaatkan teknologi IoT dalam pengurusan kualiti, pemain industri di Malaysia dapat mengesan masalah dengan lebih cepat dan mengambil tindakan segera untuk meningkatkan kualiti produk.

 

Selain itu, AI juga memberikan kesan yang besar dalam pengurusan kualiti di Malaysia. AI membolehkan analisis data yang cekap dan tepat dalam pengenalpastian punca masalah kualiti dan memberikan ramalan mengenai prestasi kualiti pada masa akan datang.

 

Dalam Industri 4.0, AI dapat membantu pemain-pemain industri di Malaysia untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dengan mengoptimumkan proses pengeluaran dan memaksimumkan penggunaan sumber yang tersedia.

 

Harus diingat, prinsip pengurusan kualiti bukan hanya terletak pada kos yang tinggi, tetapi ia lebih kepada mencari titik yang paling optimum di dalam sesebuah proses pengeluaran.

 

Namun, terdapat juga cabaran yang perlu dihadapi dalam pengurusan kualiti di era Industri 4.0. Salah satunya adalah perlunya penyesuaian dan peningkatan kemahiran tenaga kerja.

 

Industri 4.0 membawa perubahan besar dalam pengendalian operasi dan pengurusan kualiti. Organisasi perlu mampu mengintegrasikan teknologi canggih seperti AI, IoT, analisis data raya, dan robotik ke dalam proses pengurusan kualiti mereka.

 

Ini memerlukan pelaburan awal yang agak besar dalam infrastruktur dan pembangunan sumber manusia yang diperlukan untuk mengendalikan teknologi tersebut.

 

Selain itu, terdapat juga cabaran dalam mengelola dan menganalisis data yang terus meningkat dengan kadar yang besar serta kompleks. Organisasi perlu memastikan keberkesanan pengurusan data, pemantauan dan analisis untuk membuat keputusan yang tepat. 

 

Keselamatan dan privasi data juga menjadi salah satu kebimbangan di dalam pengurusan kualiti di era Industri 4.0 ini. Dalam menyimpan dan mengumpulkan data raya, organisasi perlu memastikan proses yang sistematik, selamat serta mematuhi undang-undang yang berkaitan.

 

Secara kesimpulannya, pengurusan kualiti dalam era Industri 4.0 di Malaysia menghadapi banyak cabaran yang perlu diatasi. Penyesuaian dengan teknologi baru, pengelolaan data yang kompleks, dan kebimbangan terhadap keselamatan dan privasi data adalah beberapa cabaran utama.

 

Namun, dengan persediaan yang betul dan komitmen untuk berdaya saing dengan gergasi perindustrian yang lain, serta usahasama dari badan Kerajaan, pemain-pemain industri di Malaysia ini akan dapat memberikan kualiti
yang optimum dan berdaya saing di dalam persekitaran yang semakin digital ini.

 

Kerajaan juga harus memainkan peranan penting di dalam membantu pemain-pemain industri tempatan dengan memberi insentif bagi menggalakkan mereka menceburi bidang AI untuk terus relevan di dalam industri.

 

Dalam masa yang sama, modul-modul pembelajaran hendaklah diselitkan dengan teknologi AI ini supaya jurutera-jurutera baru yang bakal dilahirkan ini dapat berfikir dan menyelesaikan masalah melalui sudut yang berbeza. - DagangNews.com

 


Ts. ABD MUTALIB BIN ABD GAPAR seorang pemerhati bebas dan pengamal keselamatan dan kesihatan
pekerjaan di Malaysia