Pengeluaran buah tandan segar merosot, RHB Investment unjur pendapatan sektor perladangan Q4 2023 menyusut | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar merosot, RHB Investment unjur pendapatan sektor perladangan Q4 2023 menyusut

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - RHB Investment menjangkakan pendapatan suku keempat 2023 bagi sektor perladangan menyusut kesan daripada kemerosotan pengeluaran buah tandan segar (BTS) selepas musim puncak.

 

Katanya, penyusutan harga minyak sawit mentah (MSM) juga memberi kesan kepada pendapatan sektor itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, faktor-faktor itu memberi gambaran jelas terhadap prestasi sektor perladangan.

 

"Pengeluaran BTS dari suku tahun ke suku tahun juga lebih rendah selepas musim puncak manakala harga spot MSM mencatatkan sedikit penyusutan.

 

"Di Malaysia, pengeluaran BTS syarikat di bawah liputan kami merosot sebanyak purata 0.6% dari suku tahun ke suku tahun manakala harga spot MSM menguncup sebanyak 2.6% pada suku keempat lalu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, berdasarkan unjuran tahap pengeluaran, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) berkemungkinan mencatatkan prestasi yang lebih lemah manakala FGV Holdings Bhd dijangka mencatatkan keputusan suku tahun lebih baik.

 

Katanya, syarikat yang terlibat dengan industri hiliran di Malaysia dijangka mencatatkan margin yang lebih baik bagi suku tahun ke suku tahun disebabkan penurunan persaingan dari Indonesia.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu, dengan strategi dagangan positif, harga MSM dijangka lebih tinggi pada separuh pertama 2024 didorong kadar pengeluaran lebih lemah secara bermusim akibat impak El Nino.

 

"Pilihan utama kami dalam sektor itu ialah Ta Ann Holdings Bhd dan Sarawak Oil Palms Bhd," katanya. - DagangNews.com