Pengeluaran minyak mentah dan kondensat naik 0.3% kepada 45.9 juta tong pada suku ketiga 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran minyak mentah dan kondensat naik 0.3% kepada 45.9 juta tong pada suku ketiga 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis - Pengeluaran Minyak mentah dan kondensat mencapai 45.9 juta tong pada suku ketiga 2023, meningkat 0.3% berbanding setahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan tersebut disumbangkan terutamanya oleh kondensat dengan pertumbuhan 16.2% daripada 11.3% pada suku sebelumnya.

 

Dari segi komposisi, beliau berkata minyak mentah merupakan penyumbang tertinggi dengan 72.1% atau 33.1 juta tong, manakala kondensat merangkumi 27.9% atau 12.8 juta tong, sementara pengeluaran gas asli menyusut 2.1% kepada 677.8 bilion kaki padu pada suku ini. 

 

"Berbanding dengan suku sebelumnya, pengeluaran minyak mentah dan kondensat berkembang 0.9% (S2 2023: -5.6%), manakala pengeluaran gas asli pulih kepada 0.2% daripada negatif 7.7% yang direkodkan pada suku sebelumnya," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini. 

 

Mengulas tentang prestasi perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM7.8 bilion pada suku ketiga 2023 berbanding RM6.5 bilion bagi suku sebelumnya. 

 

 

dosm

 

 

"Thailand merupakan destinasi eksport utama untuk petroleum mentah dan kondensat pada suku ini dengan nilai sebanyak RM2.3 bilion (29.3%), diikuti oleh Jepun (23.3%) dan Australia (18.3%). 

 

"Sementara itu, nilai eksport leluaran petroleum bertapis berjumlah RM31 bilion dengan 18.5% dieksport ke Singapura, diikuti oleh Australia (16.8%) dan Indonesia (13.6%)," katanya.

 

Bagi nilai eksport gas asli cecair (LNG) pula, beliau berkata ia direkodkan lebih rendah berjumlah RM12.5 bilion pada suku ini, di mana Jepun kekal sebagai negara destinasi utama dengan nilai eksport sebanyak RM4.9 bilion (39.5%), diikuti oleh China (28%) dan Republik Korea (19.2%).

 

Mohd Uzir menambah bahawa nilai import petroleum mentah dan kondensat berkurangan kepada RM12.5 bilion pada suku ini dengan lebih daripada separuh atau 53.9% diimport dari Arab Saudi bernilai RM6.7 bilion, Emiriah Arab Bersatu (18.2%) dan Amerika Syarikat (6%). 

 

Selain itu, import keluaran petroleum bertapis juga menunjukkan penurunan pada suku ini, bernilai RM30.6 bilion, manakala nilai import tertinggi sebanyak RM10.9 bilion atau 35.4% dari Singapura, China (13.9%) dan Republik Korea (10.5%). 

 

"Bagi LNG pula, nilai import mencapai RM1.6 bilion dengan import dari Australia berjumlah RM1.4 bilion atau 86.3%, manakala Brunei Darussalam menyumbang sebanyak 13.7%," ulas beliau.  - DagangNews.com