KUALA LUMPUR 17 Mei - Malayan Banking Berhad (Maybank) memperkenalkan sistem pengeluaran tunai tanpa sentuh dan tanpa kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menerusi aplikasi MAE (Maybank E-Wallet) dalam usaha memudahkan para pelanggannya.
Maybank dalam satu kenyataan berkata, pengguna boleh mengeluarkan wang tunai tanpa sentuhan dengan hanya mengimbas kod QR di mesin ATM Maybank menggunakan aplikasi MAE.
"Dengan beberapa sentuhan, pelanggan boleh mengeluarkan wang tunai tanpa sentuhan di ATM Maybank, tanpa kad dan tanpa membuat sebarang sentuhan di mesin ATM," katanya.
Bagi mengaktifkan kemudahan itu, pelanggan hanya perlu menyentuh perkhidmatan 'ATM-Cash-Out' di aplikasi MAE dan mereka akan diberikan tempoh bertenang selama 24 jam untuk semakan keselamatan sebelum kemudahan itu boleh digunakan.
Pengguna kemudiannya akan menerima sistem pesanan ringkas (SMS) dan pemberitahuan menerusi telefon pintar mereka selepas pengaktifan mereka berjaya.
Ciri pengeluaran tanpa sentuh Maybank kini terdapat di 998 mesin ATM mereka di seluruh negara.
"Had pengeluaran tunai menerusi kad ATM dan perkhidmatan tersebut adalah tertakluk kepada had pengeluaran harian.
"Tiada had pengeluaran berasingan untuk kemudahan itu dan pengguna boleh menetapkan had pengeluaran harian mereka di mesin ATM dengan menggunakan kat ATM," katanya. - DagangNews.com