Pengguna kad kredit Alliance Bank berpeluang tebus pelbagai tawaran eksklusif Gamuda Land | DagangNews Skip to main content

Pengguna kad kredit Alliance Bank berpeluang tebus pelbagai tawaran eksklusif Gamuda Land

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Pengguna kad kredit Alliance Bank kini berpeluang menebus mata ganjaran mereka untuk menikmati pelbagai tawaran eksklusif Gamuda Land.

 

Alliance Bank dan Gamuda memaklumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan media bersama yang mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi memulakan kerjasama strategik untuk mengukuhkan komitmen bersama mereka dalam memupuk hubungan dan memperkasa masyarakat.

 

Menurut kenyataan tersebut, tawaran-tawaran disediakan itu termasuk baucar hartanah Gamuda Land dan cabang riadah dan hospitaliti Gamuda Lan, GL Play, yang membolehkan pelanggan menebus tiket taman tema SplashMania Waterpark @ Gamuda Cove dan FunPark @ Gamuda Luge Garden sehingga 30 April 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, selain kelebihan transaksi, kerjasama dengan Alliance Bank juga menggalakkan individu meneroka taman tema dan tanah lembapnya, menikmati pengalaman bersama keluarga dan menjalin hubungan baharu dengan sesama jiran.

 

“Sebagai pemaju hartanah yang komited untuk meningkatkan kehidupan komuniti kami, kerjasama ini selaras dengan usaha mencipta ruang awam yang memupuk hubungan bermasyarakat dan berfungsi sebagai pemangkin untuk membina komuniti lebih kukuh dan bersatu padu,” ujar beliau.

 

 

(Dari kiri) Chu Wai Lune dan Gan Pai Li telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik.
(Dari kiri) Chu Wai Lune dan Gan Pai Li telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik.

 

 

Selain baucar, pelanggan Alliance Bank juga akan mendapat keistimewaan menggunakan mata ganjaran mereka untuk menebus barangan eksklusif pada beberapa siri acara Tahun Baharu Cina Gamuda Land yang diadakan di perbandaran mereka, termasuk Gamuda Cove @ Kuala Langat, Gamuda Gardens @ Sungai Buloh North, twentyfive7 @ South of Kota Kemuning, Jade Hills @ Kajang dan HighPark Suites @ Petaling Jaya.

 

Selain itu, pengguna kad kredit maya Alliance Bank akan mendapat manfaat eksklusif untuk menguruskan pembayaran balik bayaran pendahuluan mereka dengan lancar pada faedah 0% selama 12 bulan untuk bayaran pendahuluan sehingga RM40,000  bagi mana-mana hartanah Gamuda Land yang terlibat.

 

Pelanggan Gamuda Land yang berjaya memohon pinjaman gadai janji dengan Alliance Bank pula akan menerima ganjaran istimewa berjumlah RM888.88 dalam kredit e-dompet Touch 'N Go. Manfaat menarik ini tersedia mulai 22 Januari hingga 31 Mac 2024 dan tertakluk pada terma dan syarat yang dinyatakan.

 

Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata, bank itu teruja bekerjasama dengan Gamuda Land, yang mencerminkan komitmen bank terhadap pemerkasaan komuniti.

 

“Kami berhasrat untuk bukan sahaja memberikan faedah kewangan kepada pengguna kad kredit Alliance Bank tetapi juga menyumbang kepada penciptaan kejiranan yang bertenaga dan saling terhubung.

 

“Perikatan ini membolehkan pelanggan kami memanfaatkan mata ganjaran mereka untuk pelbagai tawaran, meningkatkan pengalaman mereka di tarikan menarik Gamuda Land.

 

“Di Alliance Bank, kami percaya dalam memupuk hubungan dan semangat kemasyarakatan, dan kerjasama ini menunjukkan dedikasi kami untuk memberi impak positif dalam bidang yang kami berkhidmat,” tambahnya. - DagangNews.com