Pengguna Maybank panik baki akaun 'hilang', berang sistem tergendala | DagangNews Skip to main content

Pengguna Maybank panik baki akaun 'hilang', berang sistem tergendala

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - Perkhidmatan perbankan Maybank seperti penggunaan kad debit, aplikasi Maybank2U dan MAE serta laman web Maybank2U tergendala untuk sementara waktu.

 

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh bank komersial itu menerusi media sosial kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

 

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin. Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda," menurut Maybank menerusi Twitter.

 

Berdasarkan aduan beberapa pengguna Maybank di Twitter, ramai pengguna panik apabila mendapati wang simpanan mereka tiba-tiba 'hilang' dan baki akaun bank mereka menjadi kosong.

 

Mereka turut mengalami masalah membuat pembayaran menggunakan kad debit sehingga dikenakan bayaran berulang kali.

 

Beberapa pengguna lain pula bimbang kerana tidak dapat mengakses baki simpanan melalui aplikasi atau laman web bank berkenaan sejak pagi tadi.

 

 

maybank

 

 

maybank

 

 

Rata-rata pengguna telah menerima gaji hari ini, sudah tentu mahu menyelesaikan segala urusan secepat mungkin, lebih-lebih lagi sambutan Aidilfitri makin hampir.

 

Seorang pengguna Maybank di Twitter dikenali sebagai @bbcsan memaklumkan, masalah tersebut berlarutan sejak tiga jam lepas.

 

 "Cepatlah, sudah tiga jam. Saya nak bayar bil," katanya.

 

 

maybank

 

 

Pengguna Maybank, Michael Cheong berkata, dia membuat pembayaran menggunakan kad debit sebanyak tiga kali di restoran, namun gagal pada mulanya.

 

"Saya kemudiannya mendapat tiga pemberitahuan berasingan daripada aplikasi MAE yang menyatakan bahawa jumlah  tersebut ditolak," katanya. - DagangNews.com