Penggunaan MySejahtera sebagai pusat sehenti termasuk e-dagang | DagangNews Skip to main content

Penggunaan MySejahtera sebagai pusat sehenti termasuk e-dagang

Aplikasi MySejahtera

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - Penggunaan aplikasi MySejahtera mampu diperluas sebagai sebuah pusat sehenti (One Stop Centre) atau SuperApp yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform untuk rakyat Malaysia.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, aplikasi berkenaan mampu diperluas meliputi sektor-sektor selain perkhidmatan kesihatan.

 

"Selain perkhidmatan kesihatan, aplikasi MySejahtera yang kini telah digunakan oleh hampir 25 juta rakyat Malaysia juga mampu diperluaskan penggunaannya untuk meliputi sektor-sektor lain seperti e-dagang, pendidikan, perkhidmatan penghantaran.

 

"Ia mampu berfungsi sebagai sebuah Pusat Sehenti (One Stop Centre) atau Super App yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform untuk semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau lagi, pihaknya di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan meneruskan usaha membangunkan bukan sahaja infrastruktur telekomunikasi, tetapi turut melipatgandakan penggunaan teknologi digital.

 

Ujarnya, usaha tersebut adalah bagi merealisasikan aspirasi MyDIGITAL untuk manfaat semua lapisan masyarakat ke arah Revolusi lndustri 4.0 dan kemakmuran bersama.

 

Aplikasi MySejahtera pada awalnya diwujudkan sebagai keperluan untuk mengadaptasi kaedah digital dalam perkhidmatan kesihatan akibat penularan wabak COVID-19.

 

Aplikasi berkenaan telah membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Tenaga , Sains, Teknologi dan lnovasi (MOSTI) dalam menguruskan maklumat jangkitan, pengawasan penularan wabak, serta pendaftaran suntikan vaksin secara waktu sebenar (real-time) dan terkini. - DagangNews.com