Pengukuhan nilai ringgit dijangka lonjak pertumbuhan hasil Duopharma, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pengukuhan nilai ringgit dijangka lonjak pertumbuhan hasil Duopharma, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka melonjakkan pertumbuhan hasil Duopharma Biotech Bhd pada suku tahun akan datang.

 

RHB Investment berkata, 50% hingga 60% daripada kos jualannya untuk bahan farmaseutikal aktif (API) adalah dalam terma dolar AS.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek pertumbuhan kumpulan juga akan terus disokong pembaharuan kontrak Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL) bersama Kementerian Kesihatan dengan rangkaian produk bertambah kepada 86 item berbanding 50 sebelum ini.

 

Selain itu, semakan semula kontrak APPL juga seharusnya mencerminkan kadar tukaran ringgit dan dolar AS terkini yang lebih tepat berbanding kadar 4.2 pada sebelum ini. 

 

"Sementara itu, kami menjangkakan pertumbuhan jualan daripada sektor swasta akan terus disokong oleh peningkatan bilangan pesakit antarabangsa, trend masyarakat yang semakin menua dan peningkatan penyakit tidak berjangkit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat 33.1% kepada RM16.69 juta berbanding RM12.54 juta setahun lalu didorong hasil lebih tinggi.

 

Hasil bagi suku semasa meningkat 30.3% kepada rekod RM218.32 juta daripada RM167.52 juta pada 2QFY2023, terutamanya didorong oleh prestasi kukuh dalam pasaran preskripsi, khususnya segmen kesihatan awam.

 

RHB Investment berkata, margin untung kasar pada 2QFY24 menguncup sebanyak 5ppt kesan daripada naikkan kadar tarif elektrik dan dipengaruhi pengukuhan dolar AS sebanyak 5%.

 

Harga bahan mentah utamanya, API didenominasikan dalam dolar AS membuatkan margin teras menguncup 0.5ppt kepada 8% daripada caj susut nilai yang lebih tinggi dan kos operasi yang berkaitan dengan operasi penuh kemudahan K3.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.44 sesaham.- DagangNews.com