Pengurus bank, 9 individu didakwa 25 Julai 2024 berkaitan kes curi RM24.2 juta dari akaun pelanggan MBSB | DagangNews Skip to main content

Pengurus bank, 9 individu didakwa 25 Julai 2024 berkaitan kes curi RM24.2 juta dari akaun pelanggan MBSB

MBSB Bank telah pulangkan RM24.2 juta yang dicuri dari akaun simpanan tetap pelanggan. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pengurus bank dan sembilan lagi individu yang dipercayai terlibat dalam penipuan pengeluaran RM24.2 juta daripada akaun simpanan tetap pemegang akaun bank akan didakwa di Kota Kinabalu, esok, 25 Julai 2024.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sembilan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang dan seorang lagi di bawah Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

 

 

Beliau berkata, 10 suspek yang ditahan sebelum ini mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012, akan didakwa selepas siasatan polis menemui unsur dan bukti jenayah terancang dalam kes tersebut.

 

ramli
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Gambar JSJK

 

“Ini adalah kali pertama tindakan mahkamah diambil di bawah peruntukan Sosma bagi kesalahan melibatkan jenayah komersial.

 

“Pada 22 Julai lalu, Timbalan Pendakwa Raya telah memberi arahan untuk mendakwa sembilan suspek mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan seorang di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya pada sidang media di ibu negara seperti dilaporkan Bernama.

 

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] MBSB Bank pulangkan RM24.2 juta yang dicuri dari akaun simpanan tetap pelanggan

 

Tambah Ramli, sindiket berkenaan merancang ‘rompakan’ itu sejak akhir tahun lalu dan mula mengaktifkan rancangan mereka dari Mac hingga Jun.

 

“Sindiket itu telah merancang dan menjalankan aktiviti menyedut wang daripada akaun simpanan tetap, termasuk menggunakan MyKad palsu untuk menjalankan transaksi dan memanipulasi pengimbas cap jari yang digunakan oleh bank untuk tujuan pengesahan,” jelasnya.

 

Bulan lalu, media melaporkan polis telah menahan seorang pekerja bank yang disyaki terlibat dalam penipuan pengeluaran simpanan tetap berjumlah RM24.2 juta daripada empat akaun dan suspek kemudian dikenal pasti sebagai wanita berusia 38 tahun yang ditahan di Kota Kinabalu, Sabah.

 

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima empat laporan daripada pemegang akaun dan kakitangan bank pada awal Jun di Petaling Jaya, Selangor, apabila mangsa menyedari pengeluaran wang tunai yang mencurigakan dibuat di Kota Kinabalu membabitkan akaun simpanan tetap mereka.

 

Beliau berkata, kesemua pemegang akaun terbabit menafikan sebarang pengetahuan mengenai transaksi itu dan berkata mereka tidak pernah ke Kota Kinabalu untuk membuat pengeluaran.

 

Polis kemudian menahan 14 suspek termasuk pegawai bank dan seorang ahli perniagaan ‘Datuk’ selepas melakukan serbuan di Perlis dan Sabah.  - DagangNews.com