Peningkatan hasil negara bukti kerajaan berada di landasan betul uruskan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Peningkatan hasil negara bukti kerajaan berada di landasan betul uruskan ekonomi

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis – Peningkatan dalam kutipan hasil membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berada di landasan yang betul untuk mencapai defisit yang jauh lebih rendah pada masa hadapan.

 

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini sepatutnya memberi jaminan terutamanya kepada Agensi Penarafan Kredit (CRA) bahawa dasar fiskal yang mengembang akan berbalik secara beransur-ansur apabila ekonomi mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan.

 

Menurut beliau, ia akan diterjemahkan kepada risiko yang lebih rendah daripada penurunan penarafan berdaulat.

 

“Defisit fiskal yang lebih rendah pada masa hadapan bermakna kerajaan akan mempunyai lebih banyak ruang kewangan untuk menangani kemungkinan bencana ekonomi,’’ katanya kepada DagangNews hari ini.


 

Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 


Mohd Afzanizam berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa kutipan hasil kerajaan Persekutuan mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9% kepada RM210.4 bilion manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9% kepada RM307.6 bilion sehingga November 2021.

 

Oleh itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) pada Isnin berpandangan bahawa semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dapat dicapai dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Negara catat peningkatan hasil 8.9% kepada RM210.4 bilion setakat Nov 2021

 

Dalam satu kenyataan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat FPC ke-3 itu, Ismail Sabri  berkata, berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6% daripada KDNK.


 

PM

 


Perdana Menteri juga berkata agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif di bawah RMKe-12 (RMKe-12) dan kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia. – DagangNews.com

 

 

 

 

 

.