Peningkatan margin produk lonjakkan keuntungan Q2 Lotte Chemical 300%  | DagangNews Skip to main content

Peningkatan margin produk lonjakkan keuntungan Q2 Lotte Chemical 300% 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT) terus mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) yang lebih tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) yang berakhir Jun lalu apabila melonjak 300% kepada RM384 juta daripada RM96 juta tahun lalu. 

 

Ini terutamanya disumbangkan oleh peningkatan margin produk yang lebih tinggi sejak setahun lalu, menurut syarikat dalam satu kenyataan. 

 

Susulan lonjakan PAT, perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga melompat kepada RM585 juta pada suku tahun semasa, lonjakan dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM262 juta. 

 

Serentak itu, keuntungan operasi syarikat juga mencatatkan peningkatan sebanyak 274% kepada RM445 juta daripada RM119 juta yang dicatatkan pada 2QFY20. 

 

Dalam masa sama, syarikat berjaya menghasilkan aliran tunai operasi lebih kukuh bernilai RM1 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) berbanding RM512 juta pada tahun lalu. 

 

“Penambahbaikan prestasi yang cemerlang walaupun terdapat cabaran persekitaran perniagaan adalah sesuatu yang luar biasa,” jelas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Park Hyun Chul dalam satu kenyataan.

 

LCT menjelaskan bahawa keberuntungan yang kukuh itu terutamanya dipacu oleh purata harga jualan (ASP) produk lebih tinggi, susulan kos suapan stok nafta meningkat pada 2021 seiring pergerakan harga minyak mentah Brent global. 

 

ASP produk polimer mencatatkan momentum peningkatan kukuh sejak menyusut ke paras sekitar AS$800 setiap metrik tan pada 2Q20 ketika pandemik global memuncak. 

 

Dalam masa sama, syarikat juga menyaksikan hasil bagi 1HFY21 menokok kepada RM4.9 bilion daripada RM3 bilion pada tempoh sama, tahun lalu. 

 

Tambah Hyun Chul, LCT optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek pasaran petrokimia dengan beberapa faktor mengimbangi sektor tersebut. 

 

“Memandangkan sektor ini bergerak seiring pertumbuhan ekonomi, ia mungkin disokong oleh pemulihan ekonomi global, dijangka pada 2H21. Namun, terhadapat beberapa kapasiti baharu di rantau ini dijangka menembusi sektor itu yang mungkin mendatangkan tekanan ke atas ASP polimer.

 

“Prospek positif sangat bergantung kepada perkembangan keberkesanan vaksinasi selain kadar pembukaan semula ekonomi, di peringkat global dan domestik. Oleh itu, kami melihat perniagaan petrokimia kekal tidak menentu pada masa akan datang,” katanya lanjut. - DagangNews.com