Penjana Kapital tarik dana RM676 juta, lebihi sasaran awal | DagangNews Skip to main content

Penjana Kapital tarik dana RM676 juta, lebihi sasaran awal

 

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Penjana Kapital Sdn. Bhd. telah mengumpul sebanyak RM676 juta, yang mana RM372 juta atau 55% datang daripada pelabur asing khususnya Hong Kong dan Korea Selatan.
 

Jumlah itu diperoleh melalui lapan pengurus dana modal teroka (VC) Malaysia yang dipilih sebagai sebahagian daripada program padanan 'fund-of-fund'.

 

Pengumpulan dana syarikat itu yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengendalikan Program Dana Penjana Nasional (DPN), telah melebihi sasaran awal kutipan sebanyak RM448 juta ataupun hampir 200% daripada sasaran awal RM228 juta. 

 

Daripada jumlah tersebut, lapan pengurus dana VC akan memulakan pelaburan awal sebanyak RM110.15 juta dalam lapan syarikat pemula niaga. 

 

"Daripada RM676 juta yang dikumpul, lapan VC itu pada mulanya akan melabur sejumlah RM110.15 juta dalam lapan syarikat permulaan," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

 

Penjana Kapital, yang ditubuhkan di bawah Menteri Kewangan Inc berkata, kesemua lapan syarikat pemula niaga itu mempunyai kehadiran di sekurang-kurangnya dua negara ASEAN. 

 

Lima adalah syarikat pemula niaga yang berpangkalan di Malaysia manakala tiga lagi adalah syarikat asing yang komited untuk menubuhkan operasi di negara ini dan telah pun menjalinkan kerjasama dengan syarikat korporat Malaysia, katanya. 

 

Selain daripada komitmen untuk mencapai sasaran kadar pulangan dalaman (IRR) antara 15 hingga 30%, kesemua pengurus dana VC tersebut turut memberi komitmen bagi mewujudkan hampir 1,400 pekerjaan berkemahiran tinggi daripada pelaburan awal mereka.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengucapkan tahniah kepada lapan VC berkenaan dan menyifatkan dana itu amat penting untuk merangsang ekosistem syarikat pemula niaga negara dan menggalakkan inovasi, khususnya dalam menghadapi cabaran COVID-19.

 

"Saya juga mengalu-alukan kedatangan pelabur asing ke Malaysia, yang nyata mencerminkan keyakinan mereka terhadap prospek pertumbuhan Malaysia serta industri syarikat pemula niaga. 

 

"Malah, saya berharap Penjana Kapital, pengurus dana VC dan syarikat yang dilabur akan terus berjaya mengorak langkah di dalam industri ini, di samping berkongsi pengetahuan selain menjana peluang pekerjaan bergaji tinggi di Malaysia," katanya.
 

DPN, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), bertujuan untuk merapatkan jurang pembiayaan dengan memberi insentif kepada modal swasta bagi memudahkan pertumbuhan pemula niaga termasuk mengadakan persekitaran yang membolehkan syarikat pemula niaga untuk meningkatkan dan berkembang di peringkat antarabangsa.

 

Kerajaan Malaysia akan memadankan sehingga RM600 juta, pada kadar padanan 1:1, dana yang dijana oleh pengurus dana VC daripada pelabur swasta tempatan dan asing, dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion. - DagangNews.com