Penjana Komuniti@SME Bank diperluaskan kepada usahawan B40 | DagangNews Skip to main content

Penjana Komuniti@SME Bank diperluaskan kepada usahawan B40


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan memperluaskan Program Penjana Komuniti@SME Bank pada tahun hadapan dengan melibatkan 150 peserta dalam kalangan usahawan B40. 

 

Setakat ini, projek perintis program itu yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat di bawah Kementerian kewangan melibatkan 20 usahawan mikro B40 di PPR Taman Medan, Petaling Jaya dan PPR Jelatek, Kuala Lumpur. 

 

Mereka diberi latihan dan bimbingan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada melalui platform dalam talian dan menggunakan media sosial secara lebih tersusun dan efektif.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program tersebut adalah selaras dengan usaha berterusan kementerian untuk memperkasakan keupayaan dan kemahiran usahawan mikro dalam menjalankan perniagaan. 

 

"Melihat kepada potensi Program Penjana Komuniti@SME Bank ini, MEDAC akan mengembangkannya ke seluruh negara pada tahun hadapan dan meningkatkan jumlah peserta kepada 150 usahawan B40 daripada pelbagai latar belakang. 

 

"Inisiatif ini adalah salah satu usaha kerajaan dalam memperkasa golongan B40 agar mereka dapat terus berdaya maju terutama sewaktu krisis COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Program Penjana Komuniti@SME Bank merupakan salah satu daripada 27 program dan dasar baharu di bawah PEMACU yang diusahakan oleh MEDAC. 

 

PEMACU merupakan satu inisiatif yang menghubungkan fungsi semua agensi di bawah MEDAC agar pemantauan dapat dilaksanakan dengan efisien dan kerjasama kapasiti dan kecekapan dapat dimaksimumkan.

 

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, untuk memastikan objektif program ini dicapai, SME Bank telah melantik Centre for Entrepreneur Development & Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat SME Bank sebagai penyedia latihan dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sebagai Pengurus Projek. 

 

Program latihan sesi pertama telah bermula pada 15 September sehingga 6 Oktober 2020 dan sesi latihan untuk kumpulan kedua akan diselesaikan sebelum penghujung tahun ini. 

cedar

 

CEDAR juga akan memantau perkembangan dan kemajuan perniagaan para peserta latihan di sepanjang tempoh program tersebut.

 

“Program latihan berbentuk ‘hands-on’ ini merangkumi pembelajaran mengenai Facebook Ads, Instagram Advertising dan Website & Google Ads. 

 

"Selain itu, para peserta turut diperkenalkan dengan aplikasi YEZZA bagi memudahkan mereka menguruskan perniagaan," katanya. 

 

Dalam masa sama, beliau berkata, SME Bank turut menyediakan satu latihan khusus untuk penyewa di Kompleks Premis Usahawan SME Bank iaitu SME Bank Business Strategic Series atau lebih dikenali sebagai SBSS yang turut ditawarkan oleh CEDAR. 

 

Program latihan tanpa bayaran ini adalah satu platform bagi usahawan yang beroperasi di kesemua 454 lot
kilang di 26 Kompleks Premis Usahawan SME Bank untuk menambah pengetahuan dan kemahiran menjalankan perniagaan serta mengembangkannya ke peringkat yang lebih tinggi. - DagangNews.com