Penswastaan MAHB mampu tumpukan usaha jadikan lebih banyak lapangan terbang Malaysia bertaraf dunia | DagangNews Skip to main content

Penswastaan MAHB mampu tumpukan usaha jadikan lebih banyak lapangan terbang Malaysia bertaraf dunia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

HANYA beberapa minggu lalu, Malaysia tersipu-sipu bila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyusut empat tangga lagi dari 68 ke tangga 71 dalam senarai Skytrax 2024.

 

Setiap tahun, semakan dan penarafan syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang berpangkalan di United Kingdom, Skytrax meninjau pendapat pelancong dari seluruh dunia untuk menyusun senarai lapangan terbang terbaik di dunia.

 

Kedudukan terbaharu ini lebih memalukan bila dibandingkan dengan lapangan terbang negara jiran iaitu Jakarta, melonjak 15 tangga dari 43 dan kini menduduki tangga ke-28.

 

Perbandingan dengan lapangan terbang Singapura lagi sulit kerana mereka berada di dalam `liga perdana’.

 

Kedudukan buruk KLIA tersebut ada kaitan dengan masalah monorail di terminal satu yang tergendala pembaikannya, malah menyaksikan penamatan kontraktor asal, selain barisan panjang pemeriksaan pasport yang merimaskan ramai pelancong yang masuk.

 

BACA KLIA turun 4 lagi tangga, kini 71 dalam senarai lapangan terbaik dunia Skytrax 2024

 

Atas sebab ini jugalah, ramai menarik nafas lega dengan perkembangan terbaharu yang menyaksikan Malaysia Airports Holdings Bhd menerima tawaran pengambilalihan daripada sekumpulan pelabur yang termasuk pemegang saham utamanya Khazanah Nasional Bhd, dalam urus niaga bernilai lebih RM12 bilion.

 

Konsortium diketuai Khazanah, bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York, dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), bersama-sama menawarkan RM11 sesaham untuk membeli semua baki saham yang belum dimiliki oleh mereka, menurut sebuah kenyataan.

 

Ini menjadikan MAHB sebagai sebuah syarikat persendirian, dalam pengumuman rasmi di Bursa Malaysia pada 15 Mei 2024.

 

BACA Malaysia Airports terima tawaran pengambilalihan RM11 sesaham bernilai RM12 bilion

 

 

 

 

Penganalisis ekonomi, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, pensaswataan MAHB sebagai syarikat swasta memberi peluang untuk menumpukan usaha ke arah pembangunan lebih banyak lapangan terbang di Malaysia yang memenuhi standard antarabangsa.

 

Katanya, dengan sokongan konsortium pelabur yang kukuh, MAHB mungkin dapat mewujudkan infrastruktur lapangan terbang yang lebih baik dan meningkatkan reputasi negara sebagai destinasi perjalanan yang berkualiti.

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria
             Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

 

“Malah usaha memodenkan operasi dapat membawa kepada peningkatan aksesibiliti udara di seluruh Malaysia.

 

“Dengan menumpukan usaha pada pengembangan infrastruktur dan perkhidmatan, lapangan terbang akan menjadi lebih mesra pengguna, menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses oleh masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa,” kata beliau.

 

Dengan pembangunan dan penambahbaikan yang dirancang, pensaswataan ini juga akan membuka peluang pekerjaan baru serta secara langsung memberi manfaat kepada ekonomi.

 

“Ia boleh membangunkan ekonomi tempatan di kawasan sekitar lapangan terbang. Ini akan memberi manfaat positif kepada komuniti setempat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM.

 

Sementara itu, Profesor Dr Yeah Kim Leng, timbalan presiden Persatuan Ekonomi Malaysia berkata, penstrukturan semula ekuiti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akhirnya akan memberi manfaat kepada negara.

 

“Ini terutamanya jika ia menyokong peningkatan berterusan dan pemodenan lapangan terbang negara serta kemudahan dan perkhidmatan sampingan

 

 

Profesor Dr Yeah Kim Leng
                          Profesor Dr Yeah Kim Leng

 


“Sebarang peningkatan kepada pertumbuhan masa depan syarikat akan meningkatkan daya saing dan keuntungannya,” ujar beliau kepada BERNAMA.

 

Di peringkat industri, penganalisis ekonomi daripada institusi kewangan turut menyambut positif perkembangan MAHB tersebut malah MIDF Research menyarankan pemegang saham MAHB supaya menerima tawaran belian RM11 sesaham yang ditawarkan konsortium untuk mengambil alih pengendali lapangan terbang itu sebagai syarikat persendirian.

 

Anggaran pendapatan MAHB kekal tidak berubah dengan dijangkakan perbelanjaan modal yang besar diperlukan pada tahun-tahun akan datang untuk pengembangan dan pembangunan lapangan terbang.

 

Katanya, ini yang berpotensi membawa kepada kelewatan dalam realisasi pendapatan, terutamanya memandangkan ketidaktentuan di sekeliling landskap kawal selia.

 

"Nilai saksama terbitan DCF kami untuk Malaysia Airports kekal pada RM8.75 sesaham.

 

"Dengan mengandaikan pra-syarat dipenuhi atau diketepikan, kami mengesyorkan pelabur menerima tawaran belian pada RM11.00 sesaham," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

mahb

 

 

Sentimen serupa dikongsi oleh Affin Hwang Investment Bank Bhd. yang menyifatkan tawaran tersebut sebagai `adil’.

 

“Harga tawaran adalah setanding dengan sasaran harga terbitan penilaian jumlah bahagiannya sebanyak RM10.80.

 

"Kami mengesyorkan pelabur menerima tawaran itu, sekiranya dan apabila penawar bersama melancarkan tawaran pengambilalihan firma selepas semua pra-syarat dipenuhi atau diketepikan oleh tawaran bersama," kata Affin Hwang. - DagangNews.com