Penyampaian perkhidmatan kerajaan tetap berjalan lancar - JPA | DagangNews Skip to main content

Penyampaian perkhidmatan kerajaan tetap berjalan lancar - JPA

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Perubahan landskap politik semasa tidak sewajarnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam negara.

 

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, perkhidmatan awam merupakan jentera dalam sistem pentadbiran negara dan ia ditadbir urus bagi membolehkan dasar dan program negara berjalan dengan lancar.

 

"Semua penjawat awam adalah diingatkan supaya tidak terlibat dengan polemik politik semasa. Kita perlulan sentiasa berpegang kepada prinsip neutral dan tidak berpolitik.

 

"Kesetiaan penjawat awam adalah Raja, Negara dan Kerajaan. Tidak kira sama ada bertugas di mana jua peringkat dan kedudukan, penjawat awam mesti memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara," jelas JPA dalam satu kenyataan hari ini.

 

JPA berkata, Ketua-ketua Jabatan juga diarahkan untuk melaksanakan tugas selari dengan dasar semasa yang telah ditetapkan.

 

Sehubungan itu, semua warga perkhidmatan awam di bawah Kementerian dan Jabtan masing-masing perlu melaksanakan tanggungjawab dan bekerja bagi memastikan segala pengurusan dan pentadbiran kerajaan berjalan lancar seperti biasa.

 

Semua perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, perancangan program menangani pandemik COVID-19 dan program vaksinasi serta program pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang telah ditetapkan.

 

"Berdasarkan situasi semasa, tatkala negara dalam usaha mencari kesepakatan politik, sebagai tunjang kepada struktur pentadbiran negara, penjawat awam akan memastikan keutuhan dan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan diteruskan dengan baik dan berkesan.

 

"Dalam keadaan negara dan rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi da kehidupan, penjawat awam mestilah tampil ke hadapan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi meringankan beban negaara dan rakyat," ujar JPA lagi. - DagangNews.com