IPOH 23 Julai – Perak hanya akan beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah mencapai syarat ketiga nilai ambang iaitu kadar vaksinasi mencecah 40%.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, Perak boleh mencapai sasaran itu jika bekalan vaksin sampai dengan jumlah yang mencukupi.
Setakat ini Perak telah menerima 452,610 dos vaksin daripada 688,760 dos vaksin yang dijadualkan.
“Kalau ikut nilai ambang ada tiga, salah satunya untuk ke fasa tiga ialah 40 peratus (vaksinasi), jadi itu yang kita rasa ralat sedikit.
“Daripada segi kes kita rendah, pengunaan katil ICU pun mencukupi. Jadi syarat ketiga iaitu mencapai 40 peratus vaksin, ini bukan masalah PPV atau jentera tak cukup tetapi vaksin sampai kepada kita tidak mencukupi,” katanya pada siding media semasa melawat Pusat Pemberian Vaksian Meru Raya di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Sehingga 21 Julai, seramai 600,627 orang iaitu 32.25 peratus daripada jumlah penduduk Perak yang berumur 18 tahun ke atas telah menerima dos pertama vaksinasi.
Selain itu, seramai 311,793 orang iaitu 10.8 peratus telah menerima dos kedua vaksinasi.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri turut berharap supaya menerima keseluruhan jumlah dos vaksin yang dijadualkan sebelum akhir bulan ini.
“Mereka telah berjanji untuk memberikan 688,000 vaksin, jadi kita membuat persiapan untuk memberi vaksin kepada sejumlah ramailah.
“Jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetap menggunakan nilai ambang ketiga itu, bukan hanya Perak tetapi saya fikir semua negeri tidak akan sampai ke fasa tiga (PPN),” katanya. – DagangNews.com