Perak Corp, Urbax meterai perjanjian bangunkan bersama tiga bidang tanah di Meru Raya, Ipoh | DagangNews Skip to main content

Perak Corp, Urbax meterai perjanjian bangunkan bersama tiga bidang tanah di Meru Raya, Ipoh

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Jun - Perak Corporation Berhad (Perak Corp) dan Urbax Properties Sdn Bhd (Urbax) telah memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) untuk membangunkan tiga bidang tanah yang keseluruhannya berkeseluasan 24.8 ekar (10 hektar) berdekatan Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak.  

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Perak Corp berkata, tanah berkenaan akan dibangunkan dengan projek perumahan.

 

Katanya, hak kelayakan syarikat sebanyak RM52 juta yang terdiri daripada kos tanah sebanyak RM48.62 juta dan 20% daripada Jualan Bersih yang diterima oleh Urbax sebagai bahagiannya yang akhir dan adil daripada keuntungan tertakluk kepada minimum sebanyak RM52 juta secara keseluruhan.

 

"Komposisi pembangunan dan jenis hartanah yang akan dibangunkan tertakluk kepada persetujuan pihak-pihak melalui perjanjian tambahan berdasarkan laporan juruukur tanah dan perancang bandar yang akan diperolehi dalam tempoh enam bulan dari tarikh JDA dan seperti yang diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan," katanya hari ini.

 

Menurut Perak Corp, jangkaan bermulanya projek ini tertakluk kepada pematuhan syarat terdahulu iaitu dalam tempoh dua bulan selepas Urbax mendapat semua kelulusan pembangunan dan persetujuan lain yang perlu.

 

Jangkaan nilai pembangunan projek tersebut bagaimanapun hanya akan dinyatakan dalam perjanjian tambahan kemudian, kata pemakluman itu.  - DagangNews.com