Perayaan Tahun Baru Cina : “Rakyat Sarawak, tolong jangan balik kampung”  | DagangNews Skip to main content

Perayaan Tahun Baru Cina : “Rakyat Sarawak, tolong jangan balik kampung” 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. -  “Tolong jangan balik Sarawak menjelang Perayaan Tahun Baru Cina.”

 

Itu rayuan Persatuan Pemimpin Masyarakat Cina Sibu, meminta rakyat Sarawak yang bekerja atau belajar di luar negeri itu untuk tidak pulang ke kampung bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19. 

 

Pengerusinya, Temenggong Datuk Vincent Lau melihat ini merupakan langkah terbaik bagi mengekang penularan jangkitan pandemik berkenaan. 

 

“Perayaan Tahun Baru Cina menjelang tiba. Saya memohon kepada semua, terutamanya komuniti China untuk kekal selamat ketika pandemik COVID-19. 

 

“Sebaliknya, anda boleh berhubung menerusi panggilan telefon, internet dan rangkaian media sosial,” katanya menurut Borneo Post. 

 

Sarawak antara negeri yang mencatatkan kes terkumpul empat angka. Semalam, Malaysia menyaksikan jumlah kes positif baharu tertinggi iaitu 3,027.

 

Memandangkan perjalanan rentas negeri kini dibenarkan, Perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 12 Februari depan dikhuatiri mendorong ramai rakyat Malaysia bergerak pulang ke negeri masing-masing.

 

Sehubungan itu, Lau menasihati supaya rakyat di negara ini untuk kekal berada di rumah ketika perayaan itu dan perjumpaan beramai-ramai perlu dielakkan. 

 

“Aktiviti melibatkan pengumpulan beramai-ramai dianjurkan oleh persatuan ketika Perayaan Tahun Baru Cina boleh digantikan dengan aktiviti-aktiviti dalam talian. 

 

“Persatuan digalakkan untuk menggunakan dana mereka bagi tujuan pendidikan, derma, kebajikan ahli serta kemajuan persatuan,” ujarnya lagi. - DagangNews.com