Phillip Capital semak turun unjuran pendapatan UWC bagi FY25 kesan pemulihan permintaan lebih perlahan | DagangNews Skip to main content

Phillip Capital semak turun unjuran pendapatan UWC bagi FY25 kesan pemulihan permintaan lebih perlahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Phillip Capital menyemak turun unjuran pendapatan FY25 UWC Bhd sebanyak 27% kesan daripada pemulihan permintaan daripada pelanggan yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Katanya, hasil kumpulan pada FY24 mersosot sebanyak 9% kepada RM249 juta kesan pemulihan yang lebih lama membawa kepada pengurangan pesanan semikonduktor sebanyak 33%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan hasil kumpulan itu sebahagiannya diimbangi oleh pertumbuhan dalam segmen sains hayat (+1%) dan lain-lain (+142%) yang sebahagian besarnya terdiri daripada perniagaan kenderaan elektrik (EV).

 

"Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) FY24 kumpulan itu susut 15% disebabkan oleh kerugian operasi yang lebih lemah dan kerugian yang lebih tinggi daripada perniagaan baharu.

 

"Keuntungan bersih teras FY24 keseluruhan sebanyak RM15 juta (-72%) adalah melebihi jangkaan kami tetapi di bawah anggaran konsensus, mewakili 122% dan 57% daripada ramalan masing-masing," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu kini memberi tumpuan untuk mengembangkan kapasiti pembuatan semikonduktor dan projek bagi EV.

 

Katanya, UWC menyasarkan untuk melengkapkan Fasa 2 kemudahan baharunya di Taman Perindustrian Batu Kawan menjelang Disember 2024, dengan pembinaan bilik bersih baharu untuk perniagaan bahagian hadapannya dijangka siap menjelang tahun depan.

 

Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.70 sesaham.- DagangNews.com