Hartasuma percepatkan pengembangan serantau, bekerjasama dengan peserta utama industri rel Australia dan Indonesia | DagangNews Skip to main content

Hartasuma percepatkan pengembangan serantau, bekerjasama dengan peserta utama industri rel Australia dan Indonesia

(Dari kiri) Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Kumpulan Hartasuma, Mohamed Rizal Mohamed Sapari; Duta Besar Malaysia ke Republik Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Datin Paduka Dr Adina Kamarudin; Presiden Perbadanan Industri Rel Malaysia (MARIC), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman; Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon; Ketua Pegawai Operasi Sistem Rel & Transit Downer, Stephen Kakavas; Pengurus Besar Eksekutif Downer Pasaran Membangun & Pertumbuhan, Usman Pervaiz
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Hartasuma Sdn Bhd memeterai dua perjanjian kerjasama berasingan dengan dua penyedia sistem rel dan transit utama iaitu Downer Group dari Australia dan PT Len Railway Systems (PT LRS) dari Indonesia. 

 

Syarikat perkhidmatan dan kenderaan rel itu berkata, perjanjian itu merupakan langkah bagi mempercepatkan pengembangannya di peringkat serantau, memanfaatkan peralihan kepada tenaga lestari serta peningkatan pelaburan dalam infrastruktur rel di seluruh ASEAN.

 

Hartasuma telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan Downer Group dan PT Len Railway Systems di pameran industri rel terbesar, Innotrans 2024. 

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon, Ketua Pegawai Operasi Rail & Transit Systems Downer, Stephen Kakavas  dan Pemangku Presiden Pengarah PT LRS, Helarius Agung Suryantoro. 

 

Majlis itu disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Jerman, Tuan Yang Terutama Datin Dr Adina Kamarudin.

 

Menurut Hartasuma, Downer Group merupakan penyedia perkhidmatan infrastruktur integrasi terbesar di Australia dan New Zealand. 

 

Katanya, keupayaan Kumpulan itu merangkumi stok kenderaan rel, infrastruktur, sistem rel, operasi dan penyelenggaraan, integrasi sistem, inovasi kejuruteraan serta penyelesaian digital dan data. 

 

"Kerjasama kami dengan Downer akan menumpukan kepada inisiatif dekarbonisasi, inovasi kejuruteraan dan rumusan digital. 

 

"Melalui perjanjian ini, kami akan berkongsi amalan terbaik dalam inisiatif kepelbagaian dan inklusi (D&I), dengan menggunakan amalan terbaik dari Australia untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor rel di Malaysia," ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Di samping itu, Hartasuma akan bekerjasama dengan PT LRS, iaitu anak syarikat PT LEN, penyedia aplikasi rel terbesar Indonesia bagi membangunkan subsistem rel termasuk isyarat dan meneroka inisiatif dekarbonisasi yang menggalakkan teknologi rel hibrid.

 

Hartasuma menjelaskan sistem rel hibrid biasanya menggabungkan sistem pemacu diesel dan elektrik, yang berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 50% berbanding tren yang bergantung sepenuhnya kepada diesel. 

 

Mengulas tentang kemampanan, Ravindran berkata, rel merupakan mod pengangkutan yang cekap tenaga untuk kargo dan penumpang.


 
“Walaupun rel membawa 8% penumpang dunia dan 7% pengangkutan kargo global, ia hanya mewakili 2% daripada keseluruhan permintaan tenaga pengangkutan. 

 

“Jelas sekali, terdapat potensi besar untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan beralih kepada pengangkutan rel untuk kargo dan penumpang serta mengejar dekarbonisasi rel," jelasnya. 

 

Beliau turut berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja akan memperkukuhkan keupayaan Kumpulan dalam segmen lokomotif hibrid, tetapi juga mendorong inovasi yang lebih luas dalam rumusan rel mesra alam di seluruh ASEAN. 

 

"Kami komited untuk meneroka lebih jauh dalam infrastruktur rel lestari dan meletakkan diri sebagai peneraju serantau dalam sektor penting ini," ulasnya. - DagangNews.com