TA Securities menilai harga saham KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 20 sen | DagangNews Skip to main content

TA Securities menilai harga saham KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 20 sen

KHPT Holdings memiliki Automev Global Sdn Bhd.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Sept - TA Securities memberikan nilai wajar kepada pengeluar komponen dan alat ganti automotif, KHPT Holdings Bhd pada 20 sen sesaham.

 

Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah sama dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) 20 sen sesaham KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Oktober 2024.

 

Kata firma penyelidikan itu, KHPT Holdings dinilai berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 12.8 kali daripada pendapatan sesahamnya (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23).

 

“Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 11 kali ganda kepada EPS tahun kalendar 2025 (CY25), yang selaras dengan purata berat PER syarikat-syarikat setara dalam sektor automotif," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Menurut TA Securities, terdapat empat faktor kelebihan kompetitif KHPT Holdings iaitu produk digunakan dalam pemasangan jenama automotif terlaris di Malaysia dan memiliki kepakaran dalam penyelesaian die dan kejuruteraan proses.

 

Dua lagi faktor kelebihan ialah hubungan jangka panjang dengan pelanggan dan mempunyai pasukan pengurusan berpengalaman, kata firma penyelidikan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KHPT Holdings sasar kumpul RM21.73 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

"Walau bagaimanapun, terlalu bergantung kepada pelanggan utama menjadi antara faktor risiko kepada KHPT Holdings," jelasnya.

 

Menurut TA Securities, pertumbuhan berterusan pengeluar automotif tempatan, terutamanya Perodua dan Proton dijangka memberi manfaat kepada pembekal komponen untuk pengeluaran kenderaan Proton dan Perodua termasuk KHPT. 

 

Katanya, reka bentuk dan pembangunan yang sedang berlangsung untuk model kenderaan baru dan sedia ada akan mendorong penciptaan bahagian dan komponen automotif baru, menggalakkan penglibatan tempatan. 

 

"Permintaan yang berterusan untuk bahagian baru ini dijangka menyokong pertumbuhan dlam kalangan pemain industri bahagian dan komponen automotive," ujarnya.

 

TA Securities dalam pada itu menjangkakan industri automotif Malaysia akan mengalami penurunan dalam jumlah industri keseluruhan (TIV) pada 2024 (-6.2% tahun ke tahun) apabila pesanan tertunggak mula menjadi normal. 

 

"Proses normalisasi ini mungkin berpunca daripada beberapa faktor, termasuk penstabilan gangguan rantaian bekalan dan penyesuaian dalam permintaan pengguna berikutan permintaan yang luar biasa tinggi yang diperhatikan dalam tahun-tahun sebelumnya. 

 

"Ketika pengeluar menyelesaikan pesanan sedia ada, kadar pesanan baru mungkin perlahan, yang membawa kepada pengurangan dalam keseluruhan jualan kenderaan," katanya. - DagangNews.com