Aliran berterusan kontrak pembinaan 2024 dijangka belum mampu pecah rekod RM241 bilion pada 2016 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Aliran berterusan kontrak pembinaan 2024 dijangka belum mampu pecah rekod RM241 bilion pada 2016 - Kenanga Research

Tahun 2025 diramal terus menjadi satu lagi tahun yang sibuk kepada sektor pembinaan. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Sept - Nilai kontrak pembinaan bagi keseluruhan tahun 2024 yang berterusan kukuh dijangka masih tidak dapat menandingi angka RM241 bilion yang dicatatkan pada 2016 yang merupakan rekod kitaran peningkatan terakhir akibat faktor masa.

 

Kenanga Research berkata, melihat ke hadapan, dengan projek awam yang akan datang bersama dengan projek sektor swasta yang kukuh terutama dalam sektor pusat data, tahun 2025 dijangka tetap menjadi satu lagi tahun yang sibuk kepada sektor pembinaan.

 

"Kami telah meramalkan purata anugerah (kotrak pembinaan) tahunan sebanyak RM180 bilion sepanjang tahun 2024 hingga 2026, yang mana adalah 11% lebih tinggi daripada purata RM161 bilion untuk kitaran peningkatan 2016-2018," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research berkata, data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menunjukkan sebanyak RM127.6 bilion kontrak pembinaan telah dianugerahkan dalam tempoh Januari hingga Ogos 2024 (8MCY24).

 

Kata firma penyelidikan tersebut, jumlah ini bersamaan dengan 85% daripada anugerah kontrak pada 2023 yang bernilai sebanyak RM150.9 billion.

 

"Daripada RM127.6 bilion tersebut, projek kerajaan menyumbang 26%, manakala projek swasta merangkumi 74% yang selebihnya," jelasnya.

 

Tambah Kenanga Research, syarikat kontraktor bersungguh-sungguh untuk tidak ketinggalan dalam trend pusat data dengan Sunway Construction setakat ini telah memperoleh nilai kontrak tertinggi berjumlah RM3.4 bilion dalam projek pusat data. 

 

Kata firma itu, syarikat pembinaan yang mempunyai penyelesaian Sistem Pembinaan Industri (IBS) mempunyai kelebihan kompetitif seperti Gamuda, IJM dan Sunway Construction yang membolehkan mereka mempercepatkan garis masa projek. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Nilai kerja pembinaan suku kedua 2024 naik 20.2% kepada RM38.9 bilion, 1H24 RM75.7 bilion - DOSM

 

"Walau bagaimanapun, margin keuntungan untuk kontraktor ini dijangka meningkat, kerana projek pusat data cenderung memberikan margin yang lebih tinggi berbanding projek tradisional. 

 

"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sifat cepat projek ini, yang memerlukan masa pembinaan yang lebih singkat dan secara semula jadi membenarkan margin keuntungan yang lebih tinggi," ujarnya.

 

Kenanga Research mengekalkan penarafan sektor 'Overweight' dengan menaikkan saranan Gamuda kepada Outperform daripada Market Perform kerana ia akan menerajui sektor dalam ledakan kitaran ini manakala IJM dan Sunway Construction kekal pada Market Perform. 

 

"Kontraktor berkapitalisasi sederhana hingga kecil seperti Kerjaya, Kimlun dan WCT mengekalkan penarafan Outperform mereka. 

 

"Gamuda adalah pilihan utama kami untuk sektor ini kerana: (i) menjadi peneraju untuk Laluan Mutiara LRT Penang dan peneraju untuk kerja terowong MRT3, (ii) keupayaannya untuk mendapatkan kontrak baru di pasaran luar negara, (iii) kekuatan modal yang kukuh setelah penjualan lebuh raya tol, (iv) visi pendapatan yang kuat disokong oleh buku pesanan tertunggak yang mencatat rekod RM26.5 bilion (tidak termasuk Upper Padas Hydro dan LRT Penang), dan (v) kemasukannya ke dalam ruang tenaga boleh diperbaharui," katanya. - DagangNews.com