Perbanyak projek di Sarawak seiring Kalimantan sebagai ibu negara baharu Indonesia | DagangNews Skip to main content

Perbanyak projek di Sarawak seiring Kalimantan sebagai ibu negara baharu Indonesia


KUALA LUMPUR 11 Nov - Kerajaan digesa memperbanyak projek pembangunan di Sarawak susulan Kalimantan yang bersempadan dengan negeri itu bakal dinobat sebagai ibu negara baharu Indonesia.

 

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) berkata, perkara itu amat penting bagi menjana ekonomi di kawasan sekitar Sarawak memandangkan pembangunan pesat turut berlaku di Kalimantan.

 

“Oleh itu, pembangunan dan keperluan untuk lebih banyak projek yang mampu menjana ekonomi di kawasan sekitar yang terlibat adalah amat penting bagi memastikan limpahan ekonomi dan pembangunan ini akan dapat dinikmati bersama,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

 

Beliau juga meminta kerajaan menambah baik sistem kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan dengan menambah anggota Pasukan Gerakan Am khususnya di beberapa lokasi panas penyeludupan dan penyusupan pendatang tanpa izin iaitu Kuching, Serian dan Sri Aman.

 

Rohani berkata, sebagai sebuah Wilayah, Sarawak memerlukan peruntukan yang lebih tinggi digunakan untuk meningkatkan lagi infrastruktur asas terutamanya di luar bandar dimana terdapat beberapa projek pembangunan yang telah dikenal pasti seperti kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan dan ubah suai sekolah-sekolah.



Mengenai Bantuan Keluarga Malaysia yang menyasarkan bantuan kepada 9.6 juta rakyat Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM8.2 billion, beliau berharap bukan sekadar gula-gula untuk rakyat tetapi ia merupakan bantuan yang diberikan berdasarkan kajian dan data penelitian terhadap kesan dalam jangka masa panjang.

 

''Pelaksanaan Bajet 2022 perlu disertakan dengan kad laporan atau prestasi yang merekodkan semua pencapaian seperti yang diumumkan supaya ia dapat dipantau dan dinilai bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran serta membuktikan ketelusan dan integriti,'' kata beliau.

 

Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) pula berkata, Malaysia akan menyaksikan impak dan limpahan ekonomi apabila ibu kota baharu Indonesia dipindahkan ke Kalimantan.

 

Beliau berkata, antaranya menerusi projek pembinaan Lebuhraya Trans-Borneo yang dijangka menjadi pemangkin ekonomi warga Kalabakan dan Tawau selain memberi manfaat kepada negeri itu secara umumnya.

 

Seramai 22 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 hari ini. Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini. - DagangNews.com