Perjanjian perkhidmatan bersama DNB dijangka menyumbang untung bersih tambahan TM sebanyak 5% | DagangNews Skip to main content

Perjanjian perkhidmatan bersama DNB dijangka menyumbang untung bersih tambahan TM sebanyak 5%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - Perjanjian perkhidmatan 10 tahun Telekom Malaysia Bhd (TM) bernilai RM2 bilion dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan 5G akan meningkatkan pendapatan dan hasil syarikat itu.

 

AmInvenstment Bank Research berkata, selepas mengambil kira nilai kontrak RM2 bilion untuk tempoh 10 tahun bermula 28 Ogos 2021, TM dijangka memiliki kos lebihan peruntukan sebanyak RM67 juta untuk FY22 atau pertambahan keuntungan bersih one-off sebanyak 5%.

 

Tawaran akses rujukan (RAO) DNB, menetapkan harga kapasiti borong 5G pada RM30,000 setiap Gbps setiap bulan untuk 1,200Gbps pertama, manakala kapasiti berikutnya adalah pada RM22,000 setiap Gbps.

 

"Dengan mengandaikan asas pelanggan bersih sebanyak 1 juta, kami menganggarkan bahawa caj kapasiti borong untuk unifi Mobile TM boleh mencecah hanya RM50 juta setahun. Ini akan mudah dikecilkan oleh hasil borong tahunan RM200 juta daripada pengaturan pajakan gentian DNB," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan bahawa pengaturan timbal balik 5G pada mulanya akan meningkatkan pendapatan FY22 TM sebanyak 10% dan kemudiannya mengecil secara beransur-ansur berbanding pertumbuhannya dalam penggunaan data pengguna mudah alih.

 

"Kami menjangkakan TM akan melibatkan diri tidak lama lagi walaupun pengendali seperti Celcom Axiata Berhad, Digi.Com Berhad, Maxis Berhad dan U Mobile Sdn. Bhd. sedang meneliti terma utama RAO," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan trafik data untuk pengguna 4G dan 5G membawa maksud peningkatan permintaan untuk kemudahan infrastruktur gentian dan perkhidmatan nilai tambah mengatasi regim penetapan harga semasa. 

 

Katanya, pentumbuhan TM dijangka lebih pantas selepas mengambil kira peranan mereka dalam inisiatif  MyDIGITAL selain pemilikan rangkaian gentian optik di seluruh negara.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk TM pada harga sasaran (TP) RM7.10. - DagangNews.com