Perjanjian projek ladang tenusu skala besar bernilai RM4 bilion dijangka dimeterai Jun 2022 - PM | DagangNews Skip to main content

Perjanjian projek ladang tenusu skala besar bernilai RM4 bilion dijangka dimeterai Jun 2022 - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) melihat pemprosesan susu lembu ketika melawat Ladang Baladna di utara Doha, Qatar. - Foto FB Ismail Sabri
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac -  Perjanjian projek usaha sama pembangunan ladang tenusu berskala besar dengan nilai pelaburan RM4 bilion di Chuping, Perlis, membabitkan Kumpulan Baladna Food Industries (Baladna) dari Qatar dengan FGV Holdings Bhd dan FELCRA Bhd, dijangka dimeterai pada Jun 2022.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek usaha sama di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) itu bakal mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan.

 

"Baladna ialah syarikat Qatar yang terbesar dalam membekal makanan dan produk tenusu dan ia berpotensi menjadi rakan kongsi FELCRA dan FGV dalam projek usaha sama pembangunan ladang tenusu berskala besar di Chuping, Perlis.

 

"Disasarkan penghasilan 208.8 juta liter susu segar setahun berasaskan lebih 14,000 ekor lembu tenusu. Baladna, FELCRA dan FGV telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) untuk mengkaji kebolehlaksanaan projek usaha sama pada Ogos 2021.

 

"Usaha sama ini melibatkan nilai pelaburan RM4 billion dan bakal mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan. Perjanjian dijangka ditandatangani pada Jun tahun ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

 

Semalam, Perdana Menteri melawat Ladang Baladna, iaitu antara ladang ternakan lembu terbesar di rantau itu yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara Doha.

 

"Lawatan hari kedua di Qatar yang amat sibuk. Saya dibawa melawat Ladang Baladna milik Baladna Food Industries, disambut Pengerusi Kumpulan Baladna Food Industries, Moutaz Al-Khayyat dan Pengarah Urusannya, Ramez Al-Khayyat, disusuli dengan lawatan ke pusat pengeluaran susu lembu Holstein berkualiti Baladna," katanya.

 

Beliau berkata, beliau turut melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik syarikat Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha.

 

"Dalam satu majlis kemudian, saya menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah AS$360 juta daripada pengerusi syarikat, Ahmed Hussain Al-Khalaf," katanya.

 

Ini adalah lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke Qatar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia pada 21 Ogos 2021. - DagangNews.com