Perjanjian vaksin: Impak pendapatan Pharmaniaga dijangka minimum | DagangNews Skip to main content

Perjanjian vaksin: Impak pendapatan Pharmaniaga dijangka minimum

vaksin Pharmaniaga

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Perjanjian membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat tidak memberi perubahan ketara terhadap pendapatan Pharmaniaga Bhd.
(Pharmaniaga).

 

MIDF Research berkata, susulan itu pihaknya tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan  Pharmaniaga bagi tahun kewangan 2020 hingga 2021.

 

"Kami tidak membuat perubahan dalam anggaran pendapatan FY20-21 ketika ini memandangkan maklumat perjanjian yang diumumkan di Bursa Malaysia semalam tidak memberi perubahan ketara kepada pendapatan dan jangkaan perolehan sesaham (EPS) Pharmaniaga untuk tahun kewangan 2021.

 

"Ini sejajar dengan pandangan kami dalam laporan yang kami terbitkan pada 17 November 2020 dengan tajuk 'Up In The Clouds Over Covid-19 Vaccine' dan 13 Januari 2021 yang bertajuk 'Fill and Finish Deal Inked with Sinovac'.

 

"Laporan itu memberi pandangan bahawa pengedaran vaksin tidak memberi perubahan ketara kepada pendapatan syarikat," jelas MIDF Research.

 

Semalam, Pharmaniaga mengumumkan bahawa anak syarikat miliknya, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) menandatangani perjanjian bersama kerajaan Malaysia yang diwakili Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Perjanjian tersebut adalah untuk tujuan pembekalan sebanyak 12 juta dos vaksin COVID-19.

 

Pharmaniaga menjangka menerima bekalan pertama CoronaVac daripada Sinovac Lifesciences Co Ltd (Sinovac) dari China bulan depan dan vaksin itu akan tersedia kepada rakyat Malaysia pada akhir Mac 2021.

 

MIDF Research berkata, pemilihan vaksin Sinovac dibuat memandangkan ia hanya memerlukan penyimpanan sejuk pada suhu 4°C.

 

Suhu tersebut adalah bertepatan dengan kapasiti semasa Pharmaniaga iaitu pada suhu 2°C hingga 8°C.

 

Proses pembotolan dan pengedaran akhir akan dikendalikan oleh Pharmaniaga di kilang Suntikan Isipadu Kecil (SVI) yang terletak di Puchong, Selangor.

 

Kilang tersebut yang mendapat pengesahan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Amalan Pembuatan Terbaik Kesatuan Eropah (EU GMP) akan menjalani latihan pemasangan semula selama sebulan dengan kos RM2.0 juta bersama keupayaan penghasilan 2.0 juta dos sebulan. - DagangNews.com