Perkataan PANTANG di dalam Facebook | DagangNews Skip to main content

Perkataan PANTANG di dalam Facebook

ADA seorang kenalan dalam Facebook yang pagi-pagi kerjanya "mengemas kini" laporan berita yang dibaca, kemudian dikongsi pada Facebook, bersama pandangan peribadinya.

Pernyataan yang dibuatnya sengaja berbaur provokasi. Hanya dengan provokasi, dia akan mendapat perhatian orang yang kemudiannya tumpang sekaki mengulas isu serupa. Kadang-kadang ada dua pandangan berbeza. Mereka jadi bergaduh.

Kenalan tadi tak masuk-masuk sudah. Dia terus jadi Switzerland. Lazimnya, yang mengulas posting dia, lebih kuah daripada sudu.

Sangat kritikal adalah bagus, katanya semasa mengakui tabiat hariannya. Untuk apa? Cetuskan diskusi perbezaan minda atau suasana menghasut? Tak, jawabnya. Kita semua intelektual. Dia sekadar memulakan diskusi. Apa orang komen selepas itu, bukan tanggungjawab dia. Itu katanya. Oh begitu, ye?

Saya tidak berminat merrepak apa orang boleh atau tidak tulis dalam Facebook masing-masing. Setakat ini pun tiada siapa saya keluarkan daripada senarai kenalan, kecuali yang melakukan jualan langsung.

Setakat pandangan politik, itu saya baca supaya tahu apa sebelah sini dan sana bicarakan. Cuma, saya minta kurangkan penggunaan bahasa kesat, mencarut dan seumpamanya. Tak sampai matlamat anda jika berterusan sedemikian. Hanya menunjukkan peribadi yang manis di depan mata, tapi hati gelap gelita.

Jadi, perkataan apa yang sesuai anda gunakan, supaya pembaca anda tidak lari atau sakit hati? Berikut adalah cadangan istilah yang akan menyebabkan pembaca anda terjaga, terangsang, segar bugar atau juga, menyampah sama sekali.

 

1 Percuma!

Gaduhlah macam mana. Kutuk, cerca sampai tular. Tetapi terlintas sahaja iklan PERCUMA pada timeline... semua kemarahan tolak ke tepi. Siapa tidak suka barang percuma? Siapa mahu menolak rezeki percuma? Tapi kena maki percuma semua orang tidak mahu.

aaaaa

2 Jualan

Bermaksud ada potongan harga atau gandaan barang pada harga lama. Tidak kisah jika pesta jualan berlangsung di Malaysia hampir setiap bulan baik di kedai fizikal mahupun e-dagang. Yang penting, apa sahaja jualan tidak boleh anda ketinggalan. Mesti beli. Mesti layan. Walaupun jualan aksesori lori.

aaa


3 Rumah Terbuka

Disebabkan arahan PKP semasa COVID-19 ini, sambutan raya agak suram dan rumah terbuka pun malap. Tetapi zaman sebelum COVID-19, sebulan Syawal, sebulannya kita ada rumah terbuka. Bila difikir balik, banyak kita dapat berjimat tidak adakan rumah terbuka tahun ini ya. Ada rahmatnya. Mungkin tidak sangat kepada caterer atau penyedia makanan. Tapi boleh renungkan sejenak.
 

dd


4 Diskaun

Apa beza "jualan"? Bezanya sikit saja. Jualan adakalanya anda kena membeli barang-barang yang tidak perlu. Diskaun pula adalah spesifik. Tidak kisah. Nampak saja sepanduk "Diskaun", masuk terus. Beli atau tidak, kira kemudian. Gaji bulan Julai sudah lenyap. Gaji Ogos, ada seminggu lagi. Pinjam duit mak.
 

cc


5 Telefon pintar baharu

Malaysia adalah antara pasaran utama telefon pintar. Buktinya, ada dua jenama telefon menjadikan negara ini antara pasaran pertama pelancaran model terbaharu mereka. Ini sebab kita memang "gila telefon". Jadi bila ada sahabat tunjukkan telefonnya, semua berminat hendak tahu harga dan ciri-cirinya. Bukan apa, nak bandingkan dengan telefon kita sendiri. Mana tahu ada ciri telefon baru itu rupanya ada pada telefon kita.
 

z


6 Selfie

Setakat ini, saya tidak terjebak dengan hobi ini. Alasannya, saya tak tahu mengambil selfie. Mesti kepala sekerat atau nampak tangan sahaja. Jadi saya amat kagum pada orang yang sudah mahir dan menjadikannya satu seni, untuk disiar dalam media sosial. Syabas!
 

s
Nampak mata ini kira baguslah kemahiran selfie. Selalu nampak topi saja.


7 Kipidap

Kira-kira 5 tahun lalu, Ayahanda Abdul Rani Kulup memperkenalkan istilah Kipidap Dungibab ini dalam bahasa harian kita. Memang istilah itu diambil dari Bahasa Inggeris Keep It Up! Dan Don’t Give Up. Tetapi konotasi dan definisi kedua-duanya amat positif membuatkan kita tersenyum bila membacanya. Cuma janganlah jadikan ia perkataan sah di dalam Bahasa Melayu. Rosak!
 

kipidap


8 FB/ I.G/ Twitter

Sesudah bertukar kad nama dan nombor telefon, sekarang orang akan meminta, follow me on FB or IG or Twitter. Ya, saya sudah beberapa kali disuakan permintaan alaf baru ini. Boleh. Tiada masalah. Saya tiada IG (Instagram) tapi Twitter dan Facebook saya sangat membosankan. Cerita hal Liverpool dan basikal sahaja. Sudikah?
 

ig


9 Lawak

Kisah seorang penyokong Liverpool mempertahankan kemenangan kelab di dalam rancangan radio baru-baru ini, ada juga dibincangkan oleh para penyokong Liverpool lain. Lazimnya, kita akan sokong sesiapa yang berani berdebat dengan penyokong kelab lain. Tetapi jika hujahnya tidak dapat diterima dek akal dan kelakar, susah banyaklah kami hendak tolong kecuali menganggapnya acara lawak semata-mata.
 

f


10 Netizen

Ini adalah istilah diguna keyboard warriors untuk manusia yang hari-hari asyik dengan media sosial. Netizen mengulas apa sahaja isu dalam gerombolan. Mereka ini berjaya meyakinkan pengguna sederhana bahawa mereka adalah penentu nasib seseorang atau sesuatu entiti menerusi alam maya. Walaupun komen mereka berasaskan sumber berita yang diragui kesahihannya. Oh begitu, ye?
 

net


 
 
Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaannya seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mengambil nikotin pada kadar berganda. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com