Perlis, Sarawak, Labuan beralih ke Fasa 3 PPN berkuatkuasa 4 Ogos ini, kata PM | DagangNews Skip to main content

Perlis, Sarawak, Labuan beralih ke Fasa 3 PPN berkuatkuasa 4 Ogos ini, kata PM

PUTRAJAYA 2 Ogos - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perlis, Sarawak dan Labuan akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 4 Ogos ini.

 

Dalam kenyataan di laman rasmi Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, beliau mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mendengar pembentangan oleh Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengenai pelaksanaan PPN.

 

"Alhamdulillah, sukacita ingin saya umumkan bahawa tiga buah negeri yang menunjukkan prestasi yang amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa Rabu, 4 Ogos 2021. 

 

"Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

 

"Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya. Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat," kata Perdana Menteri.

 

Muhyiddin berkata, mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin dan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

 

Menurut beliau, perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

 

"Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambilkira keselamatan rakyat. 

 

"Ingin saya tekankan juga di sini bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar. 

 

"Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat," ujar beliau. - DagangNews.com