Permintaan elektrik Semenanjung Malaysia, Sabah berkembang 3.8% pada 2023, kata Pengerusi TNB | DagangNews Skip to main content

Permintaan elektrik Semenanjung Malaysia, Sabah berkembang 3.8% pada 2023, kata Pengerusi TNB

Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (tengah) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (kanan) semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 di Ibu Pejabat TNB, Bangsar pada 21 Mei 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkata permintaan elektrik berkembang sebanyak 3.8% di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun lalu, berbanding 6.1% tahun sebelumnya.

 

Pengerusi TNB Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, pertumbuhan itu disokong oleh permintaan kukuh dalam kedua-dua segmen domestik dan komersial masing-masing pada pertumbuhan 5.5% dan 9.9%.

 

"Inisiatif strategik kami menunjukkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menjadi penyedia utama penyelesaian tenaga mampan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani, yang bertujuan untuk menyusun semula ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia.

 

"Kami berada di barisan hadapan dalam memajukan objektif ini melalui projek perdana penting yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR). Inisiatif ini akan meningkatkan tenaga boleh diperbaharui (RE) secara beransur-ansur, mengukuhkan kepimpinan kami dalam penyelesaian tenaga mampan," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 di Ibu Pejabat TNB, Bangsar hari ini.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB,  Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pihaknya sedang bersiap untuk Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) 2025-2027 dengan perbelanjaan modal (CAPEX) ketara bagi menyokong peralihan tenaga Malaysia dan unjuran pertumbuhan permintaan elektrik. 

 

tnb

 

“Kami bersedia untuk melaksanakan program menarik dalam NETR, memastikan Malaysia mencapai matlamat peralihan tenaganya. 

 

"TNB mengetuai tanggungjawab itu, kami yakin dapat memupuk masa depan yang mampan, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua," katanya.

 

Ketika ini TNB memimpin tiga inisiatif utama teknologi bersih dan RE berskala besar di bawah NETR merangkumi Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) dan projek pembakaran bersama hidrogen dan amonia. 

 

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menjana lebih 3,000MW kapasiti RE menjelang 2040, dengan anggaran 2,500MW daripada teknologi HHFS dan tambahan 500MW daripada lima LSSP. 

 

TNB merancang untuk memasang HHFS sehingga kapasiti 230MW di loji hidro Temenggor dan Chenderoh menjelang 2025, dan kumpulan sedang meneroka projek solar di atas tanah dengan kapasiti 100MW di Perak. - DagangNews.com