Permulaan positif FY22, Tiong Nam raih untung bersih RM1.5 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Permulaan positif FY22, Tiong Nam raih untung bersih RM1.5 juta pada suku pertama

Tiong Nam Logistics Holdings Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Syarikat penyedia perkhidmatan logistik bersepadu terbesar di Malaysia, Tiong Nam Logistics Holdings Berhad (Tiong Nam) membuka tirai tahun kewangan 2022 dengan prestasi keuntungan bersih yang positif.

 

Syarikat berkenaan berjaya merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.5 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY22) berbanding kerugian bersih sebanyak RM5.5 juta pada sebelumnya.

 

Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock berkata, prestasi lebih baik itu dipacu oleh peningkatan permintaan bagi perkhidmatan logistik dan pergudangan kumpulan daripada pelanggan sedia ada dan baharu.

 

Susulan situasi itu juga, pendapatan kumpulan melonjak 35.7% kepada RM166.9 juta pada suku pertama 2022.

 

"Kami melihat permintaan logistik yang sangat signifikan daripada pelbagai industri selain peningkatan kadar vaksinasi di negara ini dan pembukaan semula pelbagai sektor secara berperingkat

 

"Contohnya sektor makanan dan minuman (F&B), teknologi maklumat (IT), elektrik dan elektronik (E&E) menyaksikan pertumbuhan aktiviti yang luar biasa susulan tren kerja dari rumah dan lonjakan permintaan melalui e-dagang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu, perkhidmatan logistik kepada pelbagai syarikat multinasional (MNC) bagi pasaran Asia Tenggara turut merekodkan perolehan kumpulan melebihi 30% bagi tahun kewangan 2021.

 

Jumlah itu lebih tinggi berbanding hanya 10% dalam tempoh lima tahun sebelumnya.

 

Beliau menambah, peningkatan itu menjadi bukti kepada syarikatnya sebagai salah satu pemain industri logistik yang terkemuka di Asia Tenggara.

 

"Kami berharap dapat meneruskan tren pertumbuhan positif ini yang turut disokong oleh gudang kami yang sedang dikembangkan di Malaysia di samping  peningkatan laluan di Asia Tenggara dan China," tambah beliau lagi.

 

Tiong Nam dalam fasa pengembangan gudangnya dengan pertambahan saiz pergudangan sebanyak 21% kepada 7.5 juta kaki persegi menjelang tahun kewangan 2024 berbanding hanya 6.2 juta kaki persegi pada masa ini.

 

Gudang yang akan dikembangkan syarikat itu termasuk pembangunan gudang khusus yang akan dibangunkan di Senai Airport City dengan keluasan 1.1 juta kaki persegi, yang akan selesai pada tahun kewangan 2024. - DagangNews.com