Perniagaan Malaysia perlu siap sedia untuk pertumbuhan, perkukuh usaha tingkatkan daya saing pada 2024 - CEO HSBC | DagangNews Skip to main content

Perniagaan Malaysia perlu siap sedia untuk pertumbuhan, perkukuh usaha tingkatkan daya saing pada 2024 - CEO HSBC

Datuk Omar Siddiq
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Malaysia berada pada kedudukan baik meraih manfaat besar peluang daripada peralihan ekonomi global, yang mana organisasi kini mesti bersedia untuk pertumbuhan dan pengembangan serta meningkatkan langkah bersedia masa hadapan bagi meningkatkan daya saing pada 2024, menurut HSBC.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, rantau Asia terus menawarkan prospek pertumbuhan jangka panjang yang dipacu pelaburan langsung asing yang mampan, asas pengguna yang berkembang pesat dan peluang dalam industri pembuatan dan perkhidmatan yang kompleks. 

 

Katanya, sebahagian besar usaha itu digerakkan oleh ASEAN, dalam menghadapi beberapa trend seperti orientasi semula rantaian bekalan, pecutan pesat dalam pendigitalan dan perjuangan menangani ancaman perubahan iklim. 

 

"Di tengah-tengah beberapa trend ini ialah Malaysia yang terus menjadi 25 negara perdagangan teratas dengan potensi pelaburan yang besar dan meletakkan kedudukannya sebagai destinasi utama bagi syarikat yang ingin berkembang di peringkat serantau," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, bank tersebut menganjurkan Forum Perniagaan Asia HSBC di ibu negara yang dirasmikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

 

HSBC Global Research baru-baru ini menaikkan unjuran pertumbuhannya untuk Malaysia kepada 4.1% (3.8% sebelum ini) bagi 2023 tetapi mengekalkan unjuran 2024 pada 4.5%, menyumbang kepada hasil yang lebih baik pada suku tahun ketiga dan peningkatan beransur-ansur dalam kitaran dagangan.

 

Untuk merangsang pelaburan asing dan domestik yang lebih besar ke dalam industri yang disasarkan dan mempercepatkan pembangunan inovatif dan mampan organisasi tempatan, bank-bank seperti HSBC akan kekal sebagai rakan kongsi penting dengan kerajaan dan komuniti perniagaan. 

 

 

HSBC
Liew Chin Tong

 

 

Pada 2024, ketika HSBC memperingati tahun ke-140nya di Malaysia, bank itu mengukuhkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap perniagaannya di Malaysia dan menyokong negara serta pelanggannya.

 

Tambah Omar, sejak 140 tahun lalu, HSBC menjadi pemain utama dalam usaha pembangunan di Malaysia. 

 

"Sejak pembukaan pejabat pertama bank di Pulau Pinang pada 1884, kami menyokong dan terus membantu pelanggan dan komuniti kami, berkembang dan makmur bersama. 

 

"Sebagai penghubung utama dalam komuniti perniagaan dengan rangkaian antarabangsa yang tiada tandingannya, HSBC menghubungkan Malaysia dengan dunia dan memberi tumpuan untuk menyokong rancangan dan hasrat tinggi kerajaan untuk pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara pada hari ini dan masa hadapan," katanya.

 

Sementara itu, Liew pula berkata, tiga faktor penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk lokasi strategik negara, yang telah membantunya menjadi titik tumpuan di Asia sambil membuka prospek untuk negara-negara jiran. 

 

"Kedua, menolak negara dan kumpulan tenaga kerjanya keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan dan merentasi ambang pendapatan tinggi. Ketiga, memberi tumpuan kepada bidang-bidang keutamaan seperti pengindustrian semula, peralihan hijau, pendigitalan, kemudahan ditambah baik yang meningkatkan kerja dan kehidupan peribadi bagi rakyat.

 

"Selain itu, meningkatkan mutu perkhidmatan yang kami sediakan dan memanfaatkan peluang-peluang yang memudahkan pertumbuhan serantau negara," katanya.  - DagangNews.com